TINDAKAN Selangor FC untuk tidak beraksi dalam Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) meninggalkan kesan cukup hebat.
Pendirian yang diambil atas faktor keselamatan itu menyaksikan mereka bakal mengalami kekalahan pertama dalam Liga Super selain terlepas peluang meraih kejuaraan.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan meraih perhatian positif dengan rata-rata penyokong menghormati pendirian kelab yang mementingkan keselamatan berbanding kejayaan di atas padang.
BACA LAGI: 'Show must go on', TMJ beri mesej ringkas lepas Selangor tarik diri Piala Sumbangsih
BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?
Selangor FC membuat keputusan tidak beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih. — MFL
Ia berikutan beberapa insiden melibatkan pemain lokal sepanjang minggu ini dengan penyerang Selangor FC, Faisal Halim merupakan salah seorang pemain terkesan.
Malah, ramai berasakan skuad Gergasi Merah tidak membuat sebarang kesilapan kerana berbuat demikian memandangkan terdapat situasi yang mana kelab tempatan terpaksa menangguhkan perlawanan.
Keputusan itu dibuat berikutan masalah keselamatan yang menimpa sehingga mendesak pendirian terbabit diambil dengan tarikh aksi diubah pada hari baharu.
Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga perlawanan yang pernah terpaksa ditunda dengan faktor keselamatan ditekankan pihak pengurusan kelab.
1. Pahang FA vs JDT (2013)
Satu ketika dahulu, permusuhan antara JDT dan Pahang FA cukup diketahui dengan kedua-dua kelab pernah berada di kemuncak persada bola sepak tempatan.
Kemuncak terhadap hubungan tegang mereka dapat disaksikan pada pertembungan separuh akhir Piala FA 2013 dalam perlawanan diadakan di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Limpahan penyokong menyaksikan ramai daripada mereka terpaksa duduk di trek stadium sebelum tercetus pergaduhan kecil sesama sendiri sehingga mendesak aksi terhenti.
Limpahan penyokong ketika aksi Piala FA antara Pahang dan JDT.
Jadi, gusar akan keselamatan kedua-dua pasukan, pihak pengurusan JDT mengambil keputusan menangguhkan perlawanan dengan ia terpaksa diadakan di venue berkecuali.
Perubahan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Selatan tampil lebih baik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) yang menyaksikan mereka mara ke pentas akhir dengan kelebihan gol di tempat lawan.
Namun, kekalahan di final menentang Kelantan FA masih meninggalkan rasa kecewa terhadap pasukan yang baru sahaja mencipta nama dalam arena bola sepak tempatan.
2. Malaysia vs Korea Utara (2017)
Beberapa tahun lalu, hubungan diplomatik antara Korea Utara dengan negara pernah tegang berikutan kes kematian abang kepada Kim Jong-Un, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 2017.
Isu tersebut turut memberi kesan hebat terhadap sukan bola sepak kerana satu aksi Kelayakan Piala AFC 2019 dijadualkan berlangsung di negara Asia Barat itu.
Bagaimanapun, isu keselamatan mendesak pertembungan itu ditangguh ke tarikh lain sebanyak beberapa kali dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terpaksa masuk campur.
Perlawanan antara Harimau Malaya dan Korea Utara ditangguh sebanyak beberapa kali. — Facebook/FAM
Tindakan itu dibuat selepas Kementerian Luar melarang skuad kebangsaan untuk beraksi di Pyongyang, Korea Utara dengan ketegangan antara mereka semakin dirasai.
Aksi berkenaan akhirnya dimainkan di venue berkecuali dengan Stadium Chang, Thailand dipilih untuk kedua-dua perlawanan pada November tahun sama.
Namun, keunggulan Korea Utara di samping mutu permainan Harimau Malaya yang kurang berkualiti menyaksikan mereka tewas 1-4 dalam dua aksi berkenaan.
3. JDT vs T-Team (2014)
'Insiden terowong Larkin' merupakan satu kejadian sukar dilupakan bagi penyokong JDT dan T-Team sehingga hari ini meskipun sudah hampir 10 tahun kejadian berkenaan berlaku.
Ia tercetus ketika aksi Liga Super antara kedua-dua pasukan dengan pergaduhan tercetus pada waktu rehat separuh masa pertama melibatkan pemain dan staf kejurulatihan.
Perkara itu menyaksikan T-Team yang merupakan pelawat bertindak 'memboikot' perlawanan dengan pemain mereka enggan memasuki padang untuk babak kedua.
Pemain dan staf kejurulatihan JDT dan T-Team bertikam lidah ketika rehat separuh masa.
Jadi, MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan mengumumkan satu tarikh baharu akan dipilih untuk kembali meneruskan perlawanan.
Namun, T-Team masih berkeras akan insiden terbabit apabila enggan berbincang dalam meneruskan perlawanan, sekali gus mendesak aksi itu dibatalkan sepenuhnya.
Seperti kebiasaan, pasukan yang dikendalikan Allahyarham Azraai Khor Abdullah itu mengalami kekalahan 0-3 meskipun keputusan ketika itu merupakan 2-1 berpihak kepada JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram