Akui bincang dulu dengan FAM, MFL, Shahril harap Selangor tidak terima hukuman berat


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Shahril berharap MFL tidak menghukum Selangor dengan terlalu berat selepas menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat. — Agensi

KEPUTUSAN Selangor FC untuk menarik diri daripada beraksi dalam Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 Mei menyaksikan kelab itu bakal menerima tindakan oleh badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL).

Hasil daripada tindakan Selangor itu, perlawanan Piala Sumbangsih yang sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu terpaksa dibatalkan dan memandangkan ia juga merupakan aksi pertama Liga Super, Gergasi Merah dikira sebagai walkover lalu kemenangan 3-0 diberikan buat JDT.

Tindakan Selangor tersebut ada risikonya, dan kerana itu, mereka bersedia untuk menghadapi segala tindakan oleh MFL.

BACA LAGI: Dari Kedah ke Selangor, kain rentang solidariti Faisal Halim ada di mana-mana

BACA LAGI: 'Show must go on', TMJ beri mesej ringkas lepas Selangor tarik diri Piala Sumbangsih

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, dia menyatakan yang Selangor terlebih dahulu telah berbincang dengan pihak-pihak berkaitan seperti MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum surat memohon perlawanan ditunda.

Dia berharap sekiranya tindakan diambil terhadap Selangor harapnya ia tidak terlalu berat untuk ditanggung kelab itu.

"Kalau boleh saya jelaskan, sebelum Selangor FC mengeluarkan surat (minta penundaan perlawanan), kami ada duduk berbincang bersama-sama dengan Datuk Hamidin Mohd Amin, Datuk Ab Ghani Hassan, Datuk Stuart Ramalingam. Kami juga ada berbincang dengan JDT.

"Jika tanya saya, perbincangan itu diadakan dari hati ke hati. Tapi saya faham yang pihak JDT, FAM, MFL termaktub dengan peraturan. Jadi harapan saya adalah, kalau boleh, apa saja hukuman sekali pun janganlah terlalu membebankan," kata Shahril kepada media di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Shahril berkata, kem Selangor menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk menentukan tindakan terhadap kelab itu.

Tetapi dia meminta agar semua pihak tidak lagi cuba mengeruhkan keadaan serta mula bergerak ke depan daripada isu ini.

Dalam pada itu, Shahril berkata, keadaan terkini Faisal semakin stabil dengan pergerakannya semakin normal. Walaupun tubuhnya masih berbalut, tetapi pemain itu sudah mula berjalan-jalan dalam biliknya serta semakin ceria.

Faisal masih lagi dalam pemantauan rapi dengan hanya isterinya dibenarkan untuk menemani. Tambah Shahril, tempoh tiga ke empat hari mendatang adalah penting untuk melihat perkembangan pemain tersebut selepas menjalani beberapa pembedahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram