Bintang buangan Penang FC dilabel hero KDN FC lepas rencatkan persiapan Terengganu


  • Podium
  • Selasa, 07 Mei 2024

Antara aksi pemain KDN FC menentang Terengganu pada aksi persahabatan baru-baru ini. — Facebook/KDNFC

WALAUPUN pada awalnya sukar untuk meninggalkan Penang FC, namun kini Khatul Anuar Jalil semakin selesa menjadi watak utama menjaga benteng terakhir Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada musim baharu ini.

Khatul Anuar meninggalkan pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu pada Disember tahun lepas selepas dua musim menabur bakti dengan menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga gol Penang FC.

Dia yang tiba ke bumi George Town pada musim 2022 itu berharap untuk membina semula kariernya di Liga Malaysia (Liga M) selepas hanya memanaskan bangku simpanan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC untuk saingan 2018 hingga 2021.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya Terengganu FC berjaya calar rekod bersih juara Piala AFC

BACA LAGI: Selangor FC hilang 6 tonggak utama sebelum lawan JDT?

Musim 2023 bagaimanapun bukan tahun yang memuaskan untuk Khatul Anuar apabila dia hanya diturunkan untuk dua perlawanan bersama Penang FC dan selebihnya, penjaga gol muda, Azfar Arif mendapat kepercayaan pengendali Chong Yee Fatt.

Kini, penjaga gawang berusia 26 tahun tersebut dilihat semakin serasi bermain bersama skuad Kijang Emas dengan baru-baru ini Khatul Anuar mendapat pujian daripada penyokong apabila tampil cemerlang dalam aksi pramusim KDN FC.

Perlawanan pertama Khatul Anuar meraih clean sheet buat skuad Pantai Timur itu ialah ketika berdepan kelab Liga 3 Thailand, Pattani FC yang menyaksikan KDN FC menang 3-0 ke atas pasukan pelawat itu.

khatul n

Khatul Anuar berhijrah ke KDN FC pada awal tahun ini. — Facebook/KDNFC

Detik kemuncak nama bekas penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC itu meraih pujian daripada penyokong apabila menafikan beberapa percubaan tepat dan bahaya daripada barisan pemain serangan Terengganu FC.

"Aksi Khatul Anuar Jalil mendapat pujian ramai penyokong malam tadi (setelah menafikan beberapa percubaan tepat dan bahaya yang boleh memberikan jaringan kepada Terengganu FC.

"Khatul juga berkomunikasi dengan baik bersama pemain pertahanan sekaligus kekal tanpa bolos sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Khatul telah beraksi dua perlawanan pada pra musim kali ini dan kedua-duanya 'clean sheet'," kata laman rasmi KDN FC.

Skuad Sang Penyu gagal menembusi gawang yang dijaga Khatul Anuar walaupun menurunkan pemain utama mereka seperti Safawi Rasid, Norhakim Hassan, Ismaheel Akinade, Manuel Ott dan Nurillo Tukhtasinov.

Meskipun pujian itu hadir selepas aksi pramusim, ramai penyokong berharap agar Khatul Anuar konsisten mempamerkan persembahan cemerlang untuk membuka peluang dia meraih kaps di peringkat kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram