Hilang Akhyar dan bek import, Terengganu pertaruh Azam Azmi lawan Perak FC


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Steenvoorden (kiri) dan Akhyar (kanan) terlepas perlawanan menentang Perak FC.

MISTERI kehilangan pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Matthew Steenvoorden selepas kelibatnya tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan akhirya terjawab apabila pengendali kelab, Tomislav Steinbruckner tampil memberi penjelasan.

Dalam satu hantaran terbaharu di Facebook TFC pada Selasa, pengendali kelahiran Crotia itu memberitahu bahawa pemain campuran Belanda-Indonesia itu mengalami kecederaan semasa aksi pra-musim.

Penyokong skuad Sang Penyu sebelum ini meluahkan kebimbangan mereka mengenai keadaan semasa Steenvoorden selepas melihat gambar tularnya di media sosial yang menyaksikan kaki pertahanan itu berbalut dan bertongkat.

BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota

BACA LAGI: Kelibat import baharu tiada dalam latihan, mula timbul tanda tanya penyokong Terengganu

Dalam hantaran berkenaan itu juga memaklumkan bahawa Terengganu akan terlepas khidmat Akhyar Rashid yang sebelum ini menjadi mangsa samun dan pukul berdekatan kondominium kediamannya di Kuala Terengganu.

Hal ini bermaksud, kedua-dua pemain utama berkenaan tidak akan tersedia dalam aksi pertama Liga Super pada Sabtu ini menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

"Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner menyatakan anak-anak buahnya pada ketika ini dalam keadaan lebih baik dari sudut fizikal dan mental walaupun selepas insiden yang berlaku dalam arena bola sepak Malaysia yang turut melibatkan pemain dari pasukan ini.

"Ini kerana para pemainnya sedar tentang kepentingan perlawanan pembukaan ini untuk memastikan mereka dapat bermula dengan positif bagi saingan liga musim ini. Tomislav juga menyatakan pemain utama Terengganu FC, Akhyar tidak akan dapat beraksi Sabtu ini.

azami azmi

Azam Azmi kembali cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan buku lali pada Mac lalu. — Facebook/TFC

"Selain mengalami kecederaan berikutan insiden yang berlaku, pihak kelab juga memberikannya ruang dan tempoh bertenang dan mengharapkan pemain ini akan kembali pada minggu berikutnya bersama pasukan.

"Selain Akhyar, Stenvoorden juga mengalami kecederaan semasa aksi pra-musim dan beliau juga tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini," memetik kenyataan dari TFC pada Selasa.

Penyokong Terengganu bagaimanapun kembali ceria apabila mendapat tahu bek kanan utama mereka, Azam Azmi Murad kembali cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan buku lali dalam aksi antarabangsa membabitkan Malaysia dan Oman pada Mac lalu.

Kecederaan itu memaksa pemain berusia 23 tahun itu berehat selama dua bulan dan akibat kecederaan itu juga, Azam tidak dapat menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar.

"Apa yang positif, Azam Azmi kini telahpun menjalani latihan penuh bersama pasukan selepas sembuh dari kecederaan dan sudah bersedia untuk diturunkan," jelas kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram