Selangor FC hilang 6 tonggak utama sebelum lawan JDT?


  • Podium
  • Isnin, 06 Mei 2024

Selangor kini kehilangan Faisal Halim (tengah) selepas menjadi mangsa simbahan asid.

BERBAKI tiga hari lagi, pasukan-pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada Jumaat nanti.

Aksi sulung Liga Super itu bakal menjadi tumpuan seluruh negara apabila juara pasukan juga akan menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.

JDT yang kini dibimbing oleh Hector Bidoglio berjaya mengharungi aksi pramusim di bumi Sepanyol dengan cemerlang apabila merekodkan lima kemenangan dan tewas satu perlawanan ketika berdepan CD Eldense.

BACA LAGI: Selalu buat 'homework', Hakim Danish ada misi takluk RedBull Moto GP Rookies Cup

Manakala Selangor pula mempunyai cara tersendiri untuk mempersiapkan pasukan mereka apabila menganjurkan kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) dengan menjemput tiga pasukan daripada Singapura, Laos dan Brunei.

Kedua-dua pasukan itu merekodkan keputusan pramusim yang sangat cemerlang dengan rekod jaringan menakjubkan bagi menghadapi kejohanan Piala Sumbangsih.

Namun perkhabaran buruk di kem Selangor apabila kehilangan tonggak utama mereka, Faisal Halim yang terpaksa berehat panjang akibat terkena simbahan asid di sebuah pusat beli-belah terkemuka sekitar Petaling Jaya pada Ahad.

Selain itu, menerusi perkongsian penyokong bola sepak, Ismael Wong dalam laman X memuat naik ciapan mengenai lima pemain lain Gergasi Merah yang mengalami kecederaan selepas perlawanan persahabatan baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya Terengganu FC berjaya calar rekod bersih juara Piala AFC

Faisal Halim

Faisal Halim menjadi mangsa khianat individu tidak dikenali selepas disimbah asid pada Ahad.

Menurutnya kapten pasukan, Safuwan Baharudin turut tersenarai dalam rekod kecederaan dan ia merupakan tamparan besar buat Nidzam Jamil jika perkara itu berlaku.

"Kapten pasukan, Safuwan Baharudin, pemain sayap Alvin Fortes, penyerang Roonie Fernandez serta dua pemain tengah Alexander Agyarkwa dan Nooa Laine mengalami pelbagai tahap kecederaan otot.

"Impak yang dialami daripada perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Mereka juga dijangka terlepas perlawanan menentang JDT. Senario paling optimistik mungkin melepasi ujian kecergasan lewat, tetapi buat masa ini Selangor tidak boleh mengharapkan mereka untuk aksi pembukaan musim," ciapnya.

Dengan keadaan semasa yang dihadapi barisan kejurulatihan Selangor, ia pasti akan memberikan misi sukar buat Gergasi Merah untuk menjuarai Piala Sumbangsih memandangkan JDT mempunyai rekod baik di gelanggang sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram