
NASIB malang yang menimpa dua pemain kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid mencalarkan imej bola sepak negara dengan isu berkenaan menghiasi dada akhbar beberapa hari kebelakangan ini.
Akhyar yang pada 1 Mei lalu menyambut hari lahirnya dilaporkan disamun pada hari berikutnya dengan beberapa kecederaan dialami pemain pinjaman Terengganu FC berkenaan.
Tidak lama selepas itu, Faisal pula menjadi mangsa pada Ahad apabila dia disimbah asid dalam satu serangan di sebuah pusat membeli belah terkemuka sekitar Petaling Jaya, Selangor.
BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah
BACA LAGI: TMJ, KPG luah rasa simpati buat Faisal, Akhyar
Faisal beraksi dengan cemerlang ketika berdepan Korea Selatan dalam kempen Piala Asia.
Kedua-dua insiden berkenaan kemudiannya menjadi tumpuan dengan pelbagai reaksi dikongsikan di media sosial daripada kesemua pihak, seperti kelab dan pihak pengurusan.
Malah, kisah berkenaan turut tersebar sehingga ke Asia Barat apabila sebuah agensi media Korea Selatan, M Sports melaporkan kes tersebut pada Isnin.
Ia mencuri perhatian memandangkan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berasal dari negara itu selain pernah memikul tugas sebagai pengarah bola sepak mereka.
Tidak cukup dengan itu, pertemuan kedua-dua negara pada Piala Asia 2023 menyaksikan Faisal menjaringkan gol dalam satu aksi epik di Qatar.
Pan-gon perlu mencari pengganti kepada kedua-dua pemain itu.
Dalam artikel berkenaan, Faisal dan Akhyar dilabel sebagai aset utama Harimau Malaya dengan khidmat masing-masing ditagih dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas ini.
Selain itu, agensi media tersebut turut berpeluang menghubungi Pan-gon dengan jurulatih berkenaan menyatakan rasa simpatinya terhadap dua anak buahnya.
Dalam pada itu, pengendali berusia 55 tahun berkenaan mahu pencari pengganti kepada kedua-dua pemain tersebut bagi menghadapi aksi berdepan Kyrgyzstan dan Chinese Taipei selepas ini.
"Saya amat terkejut. Meletakkan pemain bola sepak sebagai sasaran jenayah adalah sesuatu yang sukar dibayangkan di Korea Selatan. Tiada cara lain, saya perlu mencari pengganti mereka untuk perlawanan dalam masa tiga minggu lagi," katanya seperti dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Fina Nasrom.
Setakat ini, suspek dalam kedua-dua kes serangan itu masih diburu dengan pihak polis terus giat memastikan pelaku dapat ditahan, sekali gus menutup episod gelap dalam dunia bola sepak tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram