Bermula sekadar hobi, isteri atlet para kebangsaan kini tak menang tangan mekap wajah pelanggan


  • Hobi
  • Ahad, 05 Mei 2024

Nur Azlina sering mempelajari teknik mekap menerusi media sosial untuk memberi keyakinan kepada dirinya.

BERMULA dengan sekadar hobi, seorang wanita yang mencintai mekap kini menerima lebih 50 permintaan untuk menyolek wajah orang lain.

Penggemar dunia solekan, Wan Nur Azlina Muhammed Ariffin mengakui pada awalnya, dia hanyalah bersolek untuk meningkatkan keyakinan dirinya ketika ke luar rumah.

"Kadang orang cakap biarlah natural beauty, tetapi kita mahu nampak kelainan untuk beri keyakinan dekat diri kita," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Bergelar guru muzik sekolah di KL, Amylea Azizan bangga anak didik mampu hasil album sendiri

WhatsApp Image 2024-05-04 at 4.37.49 PM

Wan Nur Azlina Muhammed Ariffin meminati mekap sejak berumur 17 tahun.

Namun, Nur Azlina tidak menyangka solekannya berjaya memikat hati orang yang berada di sekelilingnya sehingga mereka mengidamkan makeup yang sama dikenakan pada wajah mereka.

"Kadang ada orang cakap, wei aku tengok mekap engkau okay sahaja, aku teringin mekap macam kau, apa kata kau cuba mekap muka aku," katanya dengan mengajuk kata-kata rakannya kepadanya.

Antara persiapan solekan yang pernah dibuat olehnya adalah untuk majlis nikah, majlis Hi Tea, majlis makan malam dan juga acara-acara lain.

"Disebabkan saya bukan MUA, hanyalah mekap lover jadi saya tidak berani lagi buat masa sekarang untuk mekap yang jenis terlalu berat, kalau mekap simple memang saya boleh," katanya.

Nur Azlina menjadikan Aisyah Rahim dan Mua Bellaz sebagai inspirasi pencetus ilham bagi solekan yang dihasilkannya.

"Saya suka idea mekap style Bollywood dan juga Arabic," katanya.

BACA LAGI: Tidur di dalam masjid harus tetapi bersyarat, elak orang ambil kesempatan — Mufti

WhatsApp Image 2024-05-04 at 5.53.35 PM

Salah satu pelanggannya yang berminat untuk mencuba mekap yang dihasilkan oleh Nur Azlina.

Setelah meminati mekap sejak berumur 17 tahun, antara teknik mekap yang sukar untuk dihasilkan adalah cut crease.

"Apabila saya tengok di media sosial antara teknik yang susah nak kuasai adalah cut crease kerana kalau tak pandai buat jadi tak cantik," katanya.

Tidak hanya memilih peralatan mekap berharga kayangan, Nur Azlina tetap akan membeli sesuatu alat mekap yang menurutnya bagus yang berharga mampu milik.

"Kalau orang, dalam RM3 atau Rm 4 pun saya beli juga di Shopee," katanya.

Dia yang merupakan isteri pemain skuad bola sepak cerebral palsy (CP) kebangsaan, Muhammad Syukri Abdul Razak mengakui kebiasaannya menghabiskan sekitar RM100 ke atas dalam sebulan untuk perbelanjaan mekap.

"Suami saya jenis yang menyokong isterinya, sama-sama sokong each other," katanya.

Pastinya pencinta barangan mekap akan mempunyai banyak jumlah barangan meliputi pelbagai peralatan di ruangan khas yang disediakan.

"Dalam laci tak terkira banyaknya eyeshadow, foundation saya ada lebih kurang dalam 40 biji," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram