Reputasi baik Selangor, pujian 3 pemain jadi faktor Reziq Bani 'last minute' pilih Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 05 Mei 2024

Reziq Bani merupakan ketua pasukan skuad kebangsaan B-23 tahun Jordan. — Instgram/ReziqBani

SELANGOR FC terpaksa berhempas-pulas melakukan segala usaha untuk mendapatkan kapten bawah 23 (B-23) tahun Jordan, Reziq Bani Hani pada saat-saat akhir sebelum tarikh akhir jendela perpindahan tamat.

Terdapat beberapa insiden mencemaskan sebelum kelab Lembah Klang berkenaan berjaya menyelesaikan perpindahan minit-minit akhir tersebut pada tengah malam Sabtu.

Penyerang berusia 22 tahun itu berkongsi bahawa bukan mudah untuk berhijrah ke Selangor kerana Jumaat adalah hari cuti di Jordan namun berkat bantuan daripada ejennya, bekas majikannya iaitu Al-Faisaly dan Selangor berhasil memeterai perjanjian itu.

BACA LAGI: Fans pertikai Selangor dikhabar sanggup pecah tabung setengah juta demi bintang Jordan saat-saat akhir

“Ia tidak mudah tetapi saya gembira semua orang berjaya melakukannya. Di Jordan, setiap Jumaat adalah cuti tetapi semua orang bekerja keras untuk memastikan saya berpindah ke Selangor sebelum jendela perpindahan ditutup,” katanya.

The Red Giants sedang mencari pemain nombor sembilan untuk bermain bersama penyerang Chile, Ronnie Fernandez dan Reziq Bani adalah penyerang yang sesuai terutamanya selepas persembahannya dalam Liga Juara-Juara AFC musim lalu.

WhatsApp Image 2024-05-05 at 16.40.24

Reziq Bani membantu pasukan Al-Faisaly dalam kempen ACL. — Instgram/ReziqBani

Dalam enam perlawanan, pemain muda yang sudah bermain untuk Al-Faisaly selama dua musim tersebut membantu kelabnya menjaringkan dua gol dan membuat dua bantuan pada peringkat kumpulan.

Pemain yang beraksi untuk Jordan dalam saingan Piala Asia Bawah 23 AFC itu menjelaskan bahawa reputasi baik dimiliki Selangor menjadi faktor terbesar Reziq Bani menyertai Gergasi Merah pada musim ini.

“Mereka mempunyai nama yang baik di tanah air. Mereka menandatangani beberapa warga Jordan pada masa lalu seperti Yazan Al-Arab dan Baha Abdelrahman. Mereka masih mempunyai Noor Al-Rawabdeh juga. Semua pemain bercakap perkara baik-baik tentang kelab.

“Saya dapat melihat betapa profesionalnya mereka dan matlamat saya adalah untuk membantu mereka beraksi dengan baik dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) musim ini dan juga membantu memenangi trofi domestik.

BACA LAGI: Reziq Bani bukan 'last option', Selangor sahkan hanya belanja kira-kira RM50,000 tebus kontrak penyerang Jordan

“Bola sepak Malaysia juga bertambah baik. Liga ini cukup mantap dengan beberapa pemain asing yang bagus. Saya tidak sabar untuk bermula.

“Saya berasal dari kelab besar di Jordan dan kini, saya menyertai salah satu pasukan terbesar di Malaysia. Jadi jangkaan akan sentiasa ada untuk menang," kata pemain yang juga mampu bermain sebagai penyerang sayap.

Selain Reziq Bani, pemain import baharu naib juara Liga Super musim 2023 itu ialah Fernandez, pemain sayap dari Cape Verde, Alvin Fortes dan bek tengah Uzbekistan, Umar Eshmurodov.

Manakala, bintang import yang masih dikekalkan Gergasi Merah ialah perancang Venezuela Yohandry Orozco; bek tengah Singapura, Safuwan Baharuddin; pemain tengah Ghana Alex Agyarkwa dan Rawabdeh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram