Ada yang komen kata tak membantu, TMJ dilapor sudah respons lebih awal kes samun Akhyar Rashid


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mei 2024

TMJ dikhabarkan sudah menghubungi polis Terengganu untuk segera mencari suspek yang menyamun Akhyar Rashid.

ARENA bola sepak negara dikejutkan dengan kes samun yang dihadapi oleh pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid sehingga menyebabkan bintang baharu Terengganu yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu cedera di bahagian kepala, kaki kiri, lengan kiri dan dianggarkan kerugian sehingga RM5000.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa baru tiba di kawasan kediamannya, selepas selesai sesi latihan bola sepak di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Azli Mohd Noor berkata, mangsa dipercayai diserang suspek yang tidak dikenali sebaik turun dari kenderaan di kawasan lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Mana bodyguard?’ Fans Terengganu berang kena kecam habis-habisan lepas Akhyar Rashid disamun

"Dalam kejadian itu, suspek yang memakai 'mask' dan menutup kepala dengan baju hoodie itu juga dipercayai memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.

"Suspek kemudian mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit dipegang oleh mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan," katanya.

Insiden yang berlaku ke atas Akhyar itu dipercayai turut mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila dilaporkan terus mengeluarkan arahan supaya pihak polis Terengganu segera mencari suspek terlibat.

TMJ

Antara perkongsian Penyokong Sukan Johor - PSJ dalam Facebook.

Perkara itu dikongsikan dalam laman Facebook Penyokong Sukan Johor - PSJ, yang menjawab segala pertanyaan tentang respons TMJ dalam kes Akhyar itu.

"Ada komen mengatakan TMJ tak bantu ke dalam kes Akhyar?

"Untuk pengetahuan anda semua, malam semalam (Khamis) juga TMJ telah menghubungi Ketua Polis Terengganu untuk mengesan segera penjenayah yang memukul dan merompak Akhyar.

"Menjunjung kasih HRH Crown Prince of Johor atas keprihatinan.

"Bersama sama kita doakan Akhyar cepat sembuh dan kembali dapat beraksi di padang bersama pasukan Terengganu FC untuk musim 2024/25," katanya dalam Facebook.

Bagaimanapun berdasarkan semakan di media sosial TMJ, baginda tidak mengeluarkan sebarang respons berhubung kejadian tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Ubun-ubun Akhyar Rashid koyak 4 sentimeter, rugi RM5,000 disamun dua lelaki misteri pakai hoodie — Polis Terengganu

Akhyar

Akhyar parah selepas disamun dua lelaki tidak dikenali pada Khamis

Ini bukanlah kali pertama TMJ mengambil berat tentang pemainnya apabila sebelum ini pernah menghantar pegawainya untuk menguruskan kes Syafiq Ahmad yang terlibat dalam kemalangan pada 6 Disember 2020.

Sebelum ini, rakaman Akhyar yang sedang menunggu menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah turut tular di laman penyokong Terengganu FC.

Kejadian samun yang menimpa pemain muda itu juga menimbulkan persoalan dan tanda tanya soal keberadaan pengawal peribadi Akhyar.

Untuk rekod, Akhyar yang juga teman lelaki kepada selebriti, Eyka Farhana mula menyertai TFC secara pinjaman daripada JDT untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain itu juga difahamkan berada dalam perancangan pengendali negara, Kim Pan-gon untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram