Jordan Mintah antara 3 bintang berpotensi 'unlocked' di bawah magis Aidil Sharin


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mei 2024

Kemasukan Aidil Sharin merupakan kunci utama skuad The Cats dapat 'memancing' bintang ternama. — Facebook/Kuching City FC

JENDELA perpindahan kali ini menyaksikan kelab bergelut musim lalu, Kuching City FC berbelanja besar dengan membawa masuk beberapa pemain yang cukup dikenali.

Langkah diambil itu pastinya menimbulkan persoalan kerana mereka hanya berada di tangga ke-13 Liga Super musim lalu di samping bergelut dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Meskipun menunjukkan kemaraan bergaya dalam MFL Challenge Cup, perbelanjaan ditunjukkan mewujudkan keraguan dengan orang ramai merisaukan keadaan kewangan kelab.

BACA LAGI: Ex-Kedah, PDRM legakan Aidil Sharin persiap Kuching City

438253840_974963817855050_8145881824552005338_n

Skuad The Cats lebih bersedia berbanding musim lalu. — Facebook/Kuching City FC

Namun, berdasarkan struktur pasukan ketika ini, kelab itu memiliki satu tarikan tersendiri, iaitu jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.

Pengendali yang pernah membimbing Kedah FA dan beberapa pasukan lain sekitar Asia Tenggara itu boleh dianggap punca utama pemain dikenali sanggup menyertai Kuching City FC.

Selain mahu mendapatkan minit permainan dengan kerap, ada yang mengharapkan pengalaman jurulatih tersebut dapat membawa nafas baharu dalam karier masing-masing.

Berdasarkan skuad The Cats ketika ini, terdapat tiga pemain menyertai kelab Borneo berkenaan dengan tujuan tersebut setelah beberapa musim menghadapi kemerosotan.

1. Jordan Mintah

Musim lalu, penyerang dari Ghana, Jordan Mintah memulakan langkah cemerlang dalam kariernya apabila membantu Terengganu FC dalam peringkat awal Liga Super.

Lima gol dalam 13 penampilan pertamanya membuatkannya sebagai tonggak utama pasukan meskipun terdapat persaingan hebat dalam posisi menyerang.

Namun, secara tiba-tiba, pemain berusia 28 tahun itu disisihkan sehingga menyaksikannya dihantar ke dalam skuad Piala MFL untuk baki musim.

BACA LAGI: Syamer Kutty, Nazmi Faiz disebut sertai kelab Utara tapi Kuching City sedia 'hijack deal'

438259680_975685201116245_8795655654930492781_n

Jordan Mintah merupakan senjata utama skuad The Cats untuk musim baharu. — Facebook/Kuching City FC

Perancangan itu sudah tentu hanya akan merencatkan perkembangannya selepas bermusim-musim diletakkan di bangku mahupun pasukan simpanan.

Jadi, dalam misi mendapatkan rentak, Mintah memilih untuk menyarung jersi skuad The Cats musim depan dengan beberapa bekas rakan sepasukannya turut berada dalam pasukan itu.

Tetapi, seperti mana dinyatakan di atas, kehadiran Aidil boleh dianggap sebagai faktor utama yang mendorong penyerang itu mencuba nasib di Borneo.

2. Danial Amier Norhisham

Satu ketika dahulu, orang ramai beranggapan Danial Amier Norhisham sebagai permata baharu dalam arena bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi ketika dia berada di awal kariernya.

Namun, harapan awam untuk menyaksikannya dipanggil kerap dalam skuad kebangsaan tidak tercapai selepas dia hanya berada di bangku simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Lambakan pemain dalam skuad Harimau Selatan menyekat peluang pemain berusia 27 tahun itu untuk beraksi sehingga mendesaknya beraksi bersama pasukan simpanan.

438253131_974962361188529_3090330939257161756_n

Harapan besar Danial Amier untuk kembali ke puncak. — Facebook/Kuching City FC

Jadi, selepas tiga tahun menunggu, Danial akhirnya mengambil langkah berani dengan menyertai Kuching City FC dengan status pinjaman sehingga penghujung musim.

Meskipun sentuhannya pasti sudah 'berkarat', bimbingan Aidil diharapkan dapat menyuntik semula motivasi dalam diri pemain berkenaan pada musim akan datang.

Bagaimanapun, anak jati Kuala Lumpur itu masih perlu membuktikan dirinya dalam setiap sesi latihan untuk mencuri perhatian Aidil, sekali gus merebut tempatnya dalam pasukan.

3. Rodney Celvin Akwensivie

Masalah prestasi sedikit sebanyak membelenggu peluang bek tengah, Rodney Celvin daripada terus diangkat sebagai salah seorang pemain tempatan terbaik dalam posisinya.

Hal itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana pemain kacukan Ghana berkenaan berdepan dilema sedemikian sejak beraksi buat Selangor FC pada 2020.

Isu berkenaan berulang sejak dia menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2021 yang menyaksikannya sukar mengesahkan tempat dalam kesebelasan utama.

438259965_974961561188609_7871589396348478936_n

Rodney Celvin merupakan harapan baharu skuad The Cats dalam barisan pertahanan. — Facebook/Kuching City FC

Untuk menyelesaikan masalah terbabit, Rodney mengambil keputusan menyertai Kuching City FC musim depan dengan perpindahan itu dimuktamadkan beberapa minggu sebelum jendela perpindahan dibuka.

Langkah tersebut bakal menyaksikannya kembali bergandingan bersama Aidil di samping membolehkannya berada lebih dekat dengan kampung halamannya di Serian, Sarawak.

Selain itu, peluang untuknya bersinar turut terhidang memandangkan dia akan bergandingan di samping bekas bek tengah PDRM FC, James Okwuosa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram