SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/25 akan membuka tirainya dengan menyaksikan aksi Piala Sumbangsih antara dua pasukan gergasi tanah air iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Pastinya skuad kendalian Hector Bidoglio itu dilihat sudah cukup bersedia untuk kembali memegang gelaran juara musim 2024/25 selepas menjulang kesemua empat trofi semusim, atau juga dikenali sebagai 'quadruple' musim lalu.
Ia dapat dibuktikan apabila JDT meraih lima kemenangan dan satu kekalahan dalam aksi pramusim di bumi Sepanyol.
Dalam enam aksi pramusim tersebut, Harimau Selatan berjaya mencetak sebanyak 17 gol dan hanya dibolosi lima jaringan.
Pastinya jumlah bolos tersebut membuktikan kekuatan JDT menjelang kempen Liga M nanti sekali gus bergelar juara bertahan Liga Super.
Bercakap mengenai jaringan, seramai 10 orang penjaring JDT membantu pasukan itu 'garang' di bumi Sepanyol.
Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi antara tonggak Harimau Selatan yang mencetak nama sebagai penjaring gol di Sepanyol.
Selain itu, Gabriel Nistelrooy, Francisco Geraldes, Endrick Dos Santos, G. Pavithran, Jalil Elias dan Nicolao Dumitru antara pemain yang turut mencipta jaringan.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga nama pemain JDT yang dijangka akan menyengat dalam kempen Liga Super nanti.
BACA LAGI: FFP tidak impak JDT, Selangor dan TFC tapi belum tentu selesai isu tunggakan gaji
Ramadhan seakan-akan memberi bayangan bersedia untuk memberi cabaran menjadi kesebelasan utama JDT. — Facebook/JDT
1. Ramadhan Saifullah
Pemain meningkat naik Harimau Selatan, Ramadhan Saifullah sudah memberikan bayangan bahawa dia bersedia untuk memberi cabaran kempen Liga Super selepas tampil cemerlang di bumi Sepanyol.
Ramadhan sudah mula mencetak nama sebagai penjaring gol dalam aksi pramusim JDT di Sepanyol.
Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan gol hatrik semasa JDT membelasah Club Costa City dengan keputusan 7-0 baru-baru ini.
Bukan dalam perlawanan itu sahaja, Ramadhan turut mencetak nama bertemu CD Alcoyano dan ini memberi mesej bahawa dia bersedia berada dalam kesebelasan utama Harimau Selatan musim depan.
Nazmi dijangka akan menjadi kesebelasan utama JDT musim depan. — Facebook/JDT
2. Nazmi Faiz
Perancang tengah JDT, Nazmi Faiz turut mempamerkan ketajaman apabila meledak dua gol dalam dua perlawanan di Sepanyol.
Meskipun kurang minit permainan namun Nazmi bijak mengambil peluang untuk membuktikan kemampuan dirinya apabila diberi kepercayaan diturunkan beraksi.
Nazmi Faiz yang kini d puncak karier masih setia bersama JDT setelah menyertai pasukan itu sejak akhir tahun 2016.
Pemain tengah berusia 30 tahun ini menyumbang dua gol penting dalam saingan Piala Malaysia musim lalu untuk membantu JDT mendakap Piala Malaysia 2023.
Sudah pasti Nazmi berada dalam perancangan Bidoglio selepas aksi cemerlang di Sepanyol.
Oscar Arribas antara pemain JDT yang dijangka mampu membantu jentera serangan JDT musim depan. — Facebook/JDT
BACA LAGI: Penaja, bakal pelabur kelab Liga Super 'tunggu dan lihat' keberkesanan FFP — Penganalisis
3. Oscar Arribas
Nama Oscar Arribas tidak asing dalam bola sepak tempatan dengan dia mengisi kuota pemain import ASEAN JDT.
Mampu beraksi sebagai pemain sayap atau pemain tengah menyerang, kehadirannya dijangka menambah sengat serangan JDT di dua posisi berkenaan.
Arribas yang merupakan pemain sayap kiri membuat 18 penampilan Liga Super pada musim 2023 sambil menghasilkan tiga gol serta lima bantuan jaringan.
Bukan itu sahaja, pengalaman beraksi dalam tiga perlawanan saingan Asia Champions League (ACL) pastinya menjadi sandaran Arribas untuk beraksi bersama Harimau Selatan musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram