Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus, pendapatan bulanan cecah RM2,000 — PM Anwar


  • Primer
  • Rabu, 01 Mei 2024

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan berita gembira buat penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember depan.

Mengumumkan berita gembira itu semasa Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa penjawat awam akan menikmati pendapatan bulanan keseluruhan minimum RM2,000 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

BACA LAGI: SJK bukan seperti pertubuhan haram, hak ibu bapa pilih aliran pendidikan — Nik Nazmi

"Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan.

"Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan,” katanya.

Tambahnya lagi, pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam.

BACA LAGI: Penahanan MB Perlis tidak jejas kempen PRK KKB — Azmin Ali

Anwar berkata, skim gaji baharu penjawat awam itu akan berkuat kuasa pada Disember tahun ini.

“Skim itu pada mulanya dirancang untuk dilaksanakan pada Januari tahun depan tetapi akan dilaksanakan untuk gaji Disember mereka,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan antara cadangan di bawah SSPA yang akan dibentangkan hujung tahun ini.

"Kenaikan gaji kakitangan awam biasanya 13 peratus. Apabila kita mulakan SSPA tahun depan, kenaikan gaji akan lebih tinggi daripada 13 peratus," jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu memperuntukkan RM10 bilion untuk pelaksanaan SSPA tahun depan. — The Star/MARTINCARVALHO/BENJAMINLEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram