SELEPAS hampir dua minggu berkampung di bumi Sepanyol, Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya selesai melakukan kempen pramusim dan kini sudah berada di tanah air untuk menyambung persiapan Liga Malaysia (Liga M).
Ujian pertama Harimau Selatan akan menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri bagi merebut trofi Piala Sumbangsih yang difahamkan akan berlangsung pada 10 Mei nanti.
Harimau Selatan dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan trofi Piala Sumbangsih musim ini apabila skuad kendalian Hector Bidoglio merekodkan kempen pramusim cemerlang di negara Eropah berkenaan.
Juara bertahan Liga Super tersebut meraih lima kemenangan dan satu kekalahan dalam aksi pramusim di bumi Sepanyol. Dalam enam aksi pramusim tersebut, Harimau Selatan berjaya mencetak sebanyak 17 gol dan hanya dibolosi lima jaringan.
BACA LAGI: FFP tidak impak JDT, Selangor dan TFC tapi belum tentu selesai isu tunggakan gaji
BACA LAGI: Penaja, bakal pelabur kelab Liga Super 'tunggu dan lihat' keberkesanan FFP — Penganalisis
Bercakap mengenai jaringan, seramai 10 pemain membantu JDT kekal 'garang' di bumi Sepanyol dengan Ramadhan Saifullah mendahului rekod jaringan dengan empat gol. Nazmi Faiz, Gabriel Nistelrooy, Francisco Geraldes dan Oscar Arribas pula masing-masing menyumbang dua gol.
Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman Hanapi pula meledak satu gol bersama-sama empat lagi rakan sepasukannya yang lain iaitu Endrick Dos Santos, G. Pavithran, Jalil Elias dan Nicolao Dumitru.
Dalam kalangan semua pemain berkenaan, Ramadhan dilihat antara yang paling memberikan impak selepas dia menjadi penyumbang terbanyak pada kempen pramusim sehingga ada penyokong mencadangkan agar pemain berusia 24 tahun itu bermain sebagai penyerang tengah.
"Ramadhan ini tidak sesuai sebagai penyerang sayap. Sebab dia tidak selincah Arif Aiman atau Akhyar Rashid. Kena polish lagi dia jadi penyerang terbaik sebab dia ada penyudah yang baik," kata penyokong JDT, Rizal Sahri.
"Saiz badan dah ada Ramadhan ini tapi sayang kurang dapat tempat. Harap musim ini dapat gilap lagi bakat dia. Teringat semasa dia jaringkan bola swing," tambah penyokong Harimau Selatan, Khairul Rezuan.
Cadangan diberikan penyokong untuk melihat anak jati Johor Bahru itu untuk menjadi penyerang tercetus selepas Ramadhan dilihat ada penyudah yang tajam untuk menggantikan tempat Syafiq Ahmad sebagai peledak tempatan JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram