KEDAH Darul Aman (KDA) FC meraih keputusan positif dalam perlawanan persahabatan menentang seteru mereka, Penang FC dengan keputusan 3-1 memihak kepada skuad Hijau Kuning di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Selasa.
Perlawanan menentang Harimau Kumbang berkenaan juga menjadi alternatif untuk menguji tahap persediaan terkini skuad bimbingan Nafuzi Zain sebelum melangkah ke saingan sebenar Liga Super pada Mei ini.
Kemenangan ke atas skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu memadam kesedihan pasukan Hijau Kuning yang tewas tipis 1-0 kepada Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Skuad Hijau Kuning terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan Penang FC yang dihasilkan pada minit ke-13 menerusi tandukan pemain pinjaman, Richmond Ankrah. Sang Kenari bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi usaha Habib Haroon pada minit ke-26.
Bersambung pada babak kedua, Kedah dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil apabila Sistem Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kapten Penang, Rafael Vitor menarik baju Fadzrul Danel dalam kotak penalti.
Nafuzi ingin cuba membawa pasukan Kedah ke kelompok empat pasukan terbaik pada musim 2024/2025. — Facebook/KDAFC
BACA LAGI: VAR Malaysia lulus, FIFA beri lampu hijau kepada FAM
Penalti tersebut mudah disempurnakan penyerang Serbia, Milos Gordic pada minit ke-51. Penyerang kelahiran Serbia menggandakan gol peribadinya pada aksi tersebut dengan meledak gol ketiga Kedah pada minit ke-67.
Kemenangan itu bukan hanya menambah keyakinan penyokong terhadap persediaan Hijau Kuning menghadapi saingan Liga Malaysia, malah mempamerkan beberapa perkara positif dalam diri pemain pasukan Sang Kenari.
Antara tonggak yang menerima maklum balas positif daripada penyokong ialah pemain import kelahiran Haiti, Sony Norde selepas dilihat sudah mula membuang sikap tamaknya ketika bermain dan kini lebih terbuka membantu rakan sepasukan.
"Sony tak tamak, tak gelecek sampai tiang gol. Memang cantik permainan dia. Clayton itu harap-harap nanti liga dah mula, boleh makin agresif dalam permainan. Keserasian jangan cari lama-lama sangat," kata penyokong Kedah, Syazwan Nadzri.
"Sony Norde begini yang kita nak. Tidak tamak, kalau boleh cross dia bukan gelecek sampai hilang bola," tambah peminat KDA FC, Ahmad Jey.
"Dah kena taram dengan Nafuzi Zain mungkin Sony ini. Selalunya dia gelecek bola sampai masuk tiang gol," pendapat penyokong Hijau Kuning, Kapten Leo.
Penyerang sayap berusia 34 tahun itu sebelum ini dikenali sebagai pemain yang 'tamak' dan kurang gemar menghantar bola kepada rakan sepasukan bertukar menjadi seorang yang mengutamakan pasukan atau team player. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram