Bukan tak layak, 3S baru dapat peluang rasa 'title' lepas tinggalkan JDT


  • Podium
  • Selasa, 23 Apr 2024

Safawi (dua dari kiri) dan Akhyar (kanan) sama-sama dipinjamkan ke Terengganu pada musim ini. — Facebook/TFC

PERPINDAHAN ke kelab baharu mungkin sukar ditelan bagi seorang pemain bola sepak profesional namun keputusan untuk membuka lembaran baharu perlu dilakukan demi kelangsungan karier dan mengumpul pengalaman.

Ada yang berhijrah atas faktor menerima tawaran lumayan daripada kelab lain, terdapat situasi kurang minit permainan mendorong segelintir pemain membuat keputusan untuk menjadi mangsa 'pinjaman' oleh majikan.

Terma pinjaman tidaklah seteruk yang dibayangkan kerana penghijrahan ke kelab lain dapat membantu mengembalikan keyakinan diri seorang pemain apa lagi jika dia semakin hari semakin kurang mendapat tempat di pasukan sedia ada.

Menjelang musim baharu ini, sistem pinjaman masih berlaku apabila kelab gergasi tanah air seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) bertindak untuk meminjamkan pemain meeka kepada kelab yang memerlukan.

Antara tiga pasukan berkenaan, Harimau Selatan sebagai kelab yang mempunyai skuad depth yang begitu baik bermurah hati untuk meminjamkan beberapa pemain JDT kepada kelab dan pada masa ia juga merupakan alternatif terbaik untuk menambah minit permainan mereka.

Pemain-pemain yang dipinjamkan oleh juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu ialah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Azam Azmi Murad, Daniel Amier Norhisham, Manuel Hidalgo dan adik-beradik Lambert.

Hikmah perpindahan itu bukan hanya memberi keuntungan dari segi minit permainan tetapi ada beberapa bintang JDT juga akhirnya mendapat peluang untuk memegang jawatan penting iaitu diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain pinjaman Harimau Selatan yang akhirnya mendapat kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan bersama majikan sementara mereka;

BACA LAGI: Belum sampai Perak lagi, tapi import Seladang siap-siap 'follow' 2 tulang belakang TBG

1) Safawi Rasid

WhatsApp Image 2024-04-22 at 21.23.46

Safawi mendapat kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan Terengganu. — Facebook/TFC

Safawi Rasid semakin kurang mendapat tempat di bahagian serangan JDT sehingga dia terpaksa dipinjamkan sebanyak dua kali iaitu ketika bersama Ratchaburi FC pada awal musim 2023 dan terbaharu menyertai Terengganu untuk tempoh setahun ini.

Pemain yang pernah mendapat Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk musim 2019 dan 2020 itu kembali berbakti bersama kelab zaman remajanya dengan Safawi berpotensi memainkan watak utama sebagai kapten pada musim 2024/2025 ini.

Tomislav Steinbruckner mula membina kepercayaan kepada Safawi apabila dia menjadi ketua pasukan dalam beberapa aksi pramusim Terengganu termasuklah ketika membantu skuad Sang Penyu memenangi Agarbomb Performance Cup 2024 baru-baru ini.

Walaupun Safawi tidak mencetak sebarang jaringan gol dalam aksi pertandingan empat penjuru itu, namun lama-kelamaan pemain berusia 27 tahun itu diyakini akan memberi sumbangan seperti zaman kemuncaknya bersama JDT sebelum ini.

2) Syafiq Ahmad

WhatsApp Image 2024-04-22 at 21.23.45

Syafiq sebelum ini juga dipinjamkan ke Kedah pada musim 2022. — Facebook/KDAFC

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad boleh dilabel sebagai pemain kegemaran penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC kerana kehadirannya sering dinantikan untuk membantu mengetuai jentera serangan pasukan Sang Kenari.

Perpindahan musim 2024 ini merupakan kali ketiga pemain berusia 28 tahun berkenaan menyertai Kedah dalam kariernya. Sebagai kelab pertamanya, Syafiq bersama Kedah sejak musim 2015 sehingga mendapat tawaran berhijrah ke JDT pada musim 2017.

Kini kembali semula ke Kedah, Syafiq diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten pasukan Kedah bagi dengan dia diyakini mampu memimpin dan membantu menaikkan motivasi rakan sepasukan ketika sedang beraksi dalam perlawanan.

Untuk rekod, Syafiq pernah mendapat tanggungjawab menyarung lilitan kapten ketika bersama Harimau Malaya pada musim 2022 dan dia juga antara watak utama yang membantu Malaysia mendapatkan slot ke Piala Asia Qatar 2023.

BACA LAGI: Dibayar wang pampasan sertai skuad Piala Thomas, Zii Jia tekad tak mahu kecewakan Malaysia

3) Syamer Kutty Abba

WhatsApp Image 2024-04-22 at 21.23.43

Syamer Kutty dilantik sebagai ketua pasukan kedua Penang FC. — Facebook/PenangFC

Tonggak tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba juga melakukan perpindahan 'bagai sirih pulang ke gagang' pada musim ini dengan kembali ke Penang FC untuk semusim sebagai pemain pinjaman dari Harimau Selatan.

Kehadiran pemain berusia 26 tahun berkenaan pastinya menimbulkan keterujaan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang kerana kualiti yang ada padanya mampu menambah sengat di bahagian tengah kelab tersebut.

Berkat pengalamannya di pasukan kebangsaan dan JDT, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberinya peranan besar untuk menjadi kapten kedua Harimau Kumbang selepas Rafael Vitor. Syamer bakal menjadi penghubung antara pemain-pemain dan barisan kejurulatihan pasukan tersebut.

Ketika aksi pramusim Agarbomb Performance Cup 2024 baru-baru ini, Syamer menyumbang dua gol iaitu sepakan penalti menentang TFC II dan satu gol untuk membantu Penang menang 3-0 ke atas KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram