‘Ini adalah permulaan’, Bobie laung amaran TBG lebih mengganas musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Perak memberikan persembahan cemerlang bertemu JDT walaupun tewas di laman sendiri. — Facebook/Perak FC

PERJUANGAN Perak FC dalam saingan Piala Malaysia masih belum berakhir. Walaupun tewas 1-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama pada Khamis, mereka masih mempunyai peluang untuk membuktikan sesuatu.

Mungkin ia sukar untuk dilakukan, tetapi melihat kepada persembahan baik Perak ketika berdepan Harimau Selatan, tiada yang mustahil untuk tampil garang walaupun bermain di gelanggang lawan pada aksi timbal balik.

Melihat kepada perspektif yang lebih luas, Perak kini sedang menuju ke arah yang lebih baik dengan peningkatan dapat dilihat terutamanya dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Oleh itu, tidak mengejutkan jika Perak dilihat mampu memberikan saingan lebih hebat pada musim akan datang jika Yusri Che Lah dikekalkan sebagai pengendali dan pemain-pemain utama pasukan dikekalkan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) interim Perak, Bobie Farid Shamsudin, walaupun The Bos Gaurus ditewaskan oleh JDT di Stadium Perak, Ipoh tetapi dia melihat pasukannya kini sedang menuju ke arah yang tepat.

Bobie berpendapat Perak sedang menuju ke arah yang betul dari segi perkembangan pasukan. Selepas beraksi longlai pada awal musim, kini peningkatan mula ada dan tidak mustahil untuk The Bos Gaurus tampil lebih garang musim depan.

"Kita tewas kepada pasukan yang tahapnya sangat tinggi berbanding kita namun saya nak ucapkan tahniah kepada pemain kita yang jelas bermain dengan begitu baik. Ini hanyalah permulaan," kata Bobie.

Bobie berharap dengan kepimpinan Yusri, Perak akan bergerak lebih maju selepas ini selepas mencatatkan prestasi baik pada baki saingan Liga Malaysia 2023.

Bobie juga turut gembira dengan komitmen yang ditonjolkan oleh penyokong-penyokong Perak yang hadir ke stadium untuk aksi separuh akhir Piala Malaysia. Untuk rekod, seramai 21 ribu penyokong hadir ke Stadium Perak bagi menyaksikan aksi tersebut dan ia menjadi kedatangan tertinggi musim ini bagi kelab Utara itu.

"21 ribu adalah angka yang sangat luar biasa. Kita sudah cuba sebaik mungkin, terima kasih warga Perak," ujar Bobie.

Perak masih ada peluang untuk mencipta kejutan apabila melawat JDT di laman mereka pada separuh akhir kedua Piala Malaysia 2 November ini.

Namun ia memerlukan persembahan cemerlang serta keajaiban untuk mara ke perlawanan akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram