JDTGBX mempunyai misi tersendiri untuk memburu gelaran juara eMFL Liga Super 2024 bagi mendapatkan slot bersaing dalam FC Pro World Championship yang akan diadakan di Arab Saudi tahun ini.
Namun sebelum mencapai matlamat untuk menyertai kejohanan berpestrij itu, JDTGBX perlu menempuhi pelbagai halangan sebagai syarat permulaan untuk menobatkan mereka sebagai juara eMFL Liga Super 2024 yang akan bermula pada Sabtu.
Cabaran eMFL Liga Super 2024 kali ini sedikit berbeza apabila seramai 50 pemain akan berada dalam pusingan Swiss Round yang dibahagikan dua kumpulan untuk mencari tujuh individu terbaik sekali gus layak ke Grand Final.
Menurut pengurus JDTGBX, Aris Danial, 25, empat pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam video permainan bola sepak dan mereka telah melakukan persiapan sejak awal tahun ini.
"Persiapan pemain-pemain JDTGBX telah pun bermula dari awal tahun lagi.
"Kami percaya pemain-pemain JDTGBX mampu untuk melayakkan diri ke pusingan Grand Final eMFL Liga Super 2024.
"JDTGBX tahun ini mempertaruhkan AkmalJHD, Chamack, Halowake dan LuqmanHzq untuk membawa cabaran kami menjuarai eMFL Liga Super 2024," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Kiko Insa jemput saya sertai keluarga Harimau Selatan'
LuqmanHzq mewakili JDTGBX untuk musim 2024.
Aris turut berpendapat saingan eMFL Liga Super 2024 akan lebih kompetitif dan cabaran terbesar mereka apabila rakan sepasukan bertemu sesama sendiri di pusingan Swiss Round.
"Bagi kami saingan kali ini lebih kompetitif yang mana ke semua pemain akan merebut 14 slot untuk ke pusingan Grand Final.
"Dengan 50 pemain dibahagikan kepada dua kumpulan, jadi lebih kecil jumlah pemain yang berada di dalam satu kumpulan, lebih sukar untuk menjangka apa yang bakal terjadi di pusingan Swiss Round.
"Tiada pencabar yang lain, sudah semestinya ahli pasukan sendiri akan menjadi cabaran kerana format pada tahun ini menggunakan format 1 lawan 1.
"Di mana setiap pemain JDTGBX akan berpeluang untuk berjumpa satu sama lain di pusingan Swiss Round," jelasnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Wakil Brunei dapat tonik harung SAC2024 sebelum jumpa Selangor lepas belasah kelab China
AkmalJHD turut setia bersama JDTGBX bagi musim 2024.
Tambahnya lagi, harapan besar buat pihak JDTGBX untuk menjuarai eMFL Liga Super 2024 selepas hampir lima tahun gagal untuk menjulang kejuaraan itu.
"JDTGBX telah berjaya menjuarai dua saingan ePiala Malaysia berturut namun kejuaraan saingan eMFL masih lagi belum berjaya dicapai oleh kami.
"Kami berharap agar pada musim ini, kami dapat menamatkan kemarau lima tahun tanpa kejuaraan saingan eMFL Liga Super," luahnya.
Untuk rekod, musim lalu PDRM FC menjuarai eMFL Liga Super sekali gus mengejutkan ramai pihak kerana pemain mereka mampu menumbangkan nama-nama pilihan sekali gus membolehkan The Cops beraksi dalam FIFA Global Series Asia South Play-Ins pada tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram