Setakat mampu ke suku akhir selama ini, 2024 peluang skuad Piala Uber lakar sejarah lebih baik


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Skuad Piala Uber berdepan cabaran untuk memecahkan tembok hanya mampu ke suku akhir. — BAM

BERBANDING dengan rakan mereka di Piala Thomas, rekod skuad Piala Uber negara tidaklah begitu cemerlang.

Jika skuad Piala Thomas boleh berbangga dengan kejuaraan yang diraih pada 1992, cerita berbeza buat skuad Piala Uber yang sekali pun tidak pernah menjadi johan apatah lagi bergelar finalis.

Terbang bersama-sama skuad Piala Thomas ke Chengdu, China, ini adalah peluang untuk para srikandi badminton negara bagi mencatatkan rekod lebih baik berbanding edisi sebelumnya.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap sejauh manakah rekod baik pernah dicatat skuad Piala Uber Malaysia sepanjang penyertaan mereka sejak 1957.

Hanya suku akhir

Rekod skuad Piala Thomas dengan Piala Uber dimiliki negara ibarat jauh panggang dari api. Sekiranya kita boleh berbangga dengan kejayaan lima kali meraih Piala Thomas, cerita berbeza untuk Piala Uber.

Hal ini kerana, rekod Malaysia di Piala Uber belum menghasilkan sesuatu yang membanggakan. Malaysia masih belum pernah bergelar juara apatah lagi sampai ke perlawanan akhir sejak menyertainya pada tahun sama negara memperoleh kemerdekaan.

Rekod terbaik pernah dicatatkan skuad Piala Uber adalah mara sehingga suku akhir bagi tiga edisi iaitu pada 2004, 2008 dan 2010.

Selain daripada itu, Malaysia mencatatkan rekod terkandas di peringkat kumpulan atau pun tidak menghantar pasukan bertanding di Piala Uber.

BACA LAGI: Kelab Liga Super mesti berani turunkan pemain muda, buka jalan beraksi di skuad kebangsaan — Syed Adney

mas (1)

Tee Jing Yi pernah mewakili Malaysia di Piala Uber 2010. — THE STAR/Azhar Mahfof

Hanya satu kemenangan

Suku akhir mungkin terlalu sukar untuk skuad Malaysia sebaik saja mereka berjaya keluar daripada peringkat kumpulan.

Hal ini kerana, dalam tiga penampilan di suku akhir, Malaysia tewas kesemuanya dengan rekod yang tidak begitu cantik untuk dipandang.

Untuk rekod, Malaysia tewas sebanyak dua kali dengan keputusan 0-3 iaitu kepada China (2004) dan Indonesia (2010).

Hanya satu mata berjaya dicuri ketika mereka kalah 1-3 kepada Korea Selatan dalam edisi 2008. Waktu itu, Wong Mew Choo menewaskan Hwang Hye-youn 21-16, 21-5 untuk memberikan pendahuluan buat Malaysia sebelum kecundang.

BACA LAGI: Surat layang dakwa ada kes jual barang, tidak hairan TMJ simpan jersi HM di stor JMF ketika jadi presiden

12-21-2020-badminton-news-lee-chong-wei-wong-mew-choo-yonex-mix-and-match-malaysia-v2

Hanya Mew Choo (kiri) pernah menghasilkan mata buat Malaysia di suku akhir Piala Uber. — Agensi

Peluang baiki rekod ada

Piala Uber 2024 boleh menjadi medan buat skuad negara membaiki rekod keseluruhan mereka sepanjang berada dalam kejohanan ini.

Diundi dalam kumpulan A bersama-sama Thailand, Chinese Taipei dan Australia, saingan sengit pastinya akan menanti skuad negara dan dijangka mereka akan bersaing hebat merebut dua tempat ke suku akhir.

Cabaran sengit pastinya tiba daripada Thailand dan Chinese Taipei. Namun begitu, kita tidak seharusnya memandang rendah keupayaan skuad negara. Dianggap bukan pilihan, inilah masa untuk menyerlah dan mengejutkan semua pihak.

Peluang untuk menyamai atau mencapai rekod lebih baik dalam Piala Uber terhidang sekali lagi buat Malaysia. Kini masanya untuk berikan yang terbaik buat negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram