PERSEMBAHAN longlai daripada skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia ketika Piala Asia B-23 di Qatar telah mengundang kecaman dalam kalangan penyokong.
Rata-rata penyokong berpendapat, pemain Harimau Muda tidak menepati standard yang diharapkan hingga pulang hampa tanpa sebarang mata serta sasaran ke separuh akhir tidak berjaya direalisasikan.
Di sebalik kecaman, apa yang perlu diberikan adalah sokongan sebaik mungkin daripada semua untuk memastikan Harimau Muda akan terus berjaya.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein, dia mengingatkan semua yang skuad Harimau Muda ini masih 'mentah' dengan corak Juan Torres Garrido.
"Bagi saya, ya kita tengok keputusan dan permainan ketika Piala Asia B-23 bukanlah yang paling baik. Tetapi kita tak boleh nak kritik mereka (berlebihan). Ia adalah satu ujian besar di mana kita bukan berada di tahap itu (di) setiap kejohanan menghadapi pasukan seperti itu. Kita perlu ambil sebagai pengajaran dan pemain perlu beraksi seperti tahap Piala Asia bersama kelab mereka.
"Dengan ada pertukaran jurulatih pasukan B-23 sebelum ini (E. Elavarasan), kita tak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi. Kita perlu beri masa, bantuan dan semangat berterusan supaya satu hari mereka akan berentap dan bermain menentang pasukan di tahap lebih tinggi dengan lebih konsisten," kata Syed Adney kepada Majoriti.
BACA LAGI: Wira Double Treble, pemenang Puskas akan warnai aksi Pilihan BB7-Piya
Kelab Liga Super perlu lebih berani turunkan pemain muda mereka dalam saingan liga. — FAM
Syed Adney juga mengatakan yang kelab-kelab Liga Super perlu lebih berani memainkan para pemain muda supaya mereka mendapat pendedahan berterusan bertemu lawan berkualiti serta pemain import handalan.
Benar wujudnya saingan Piala MFL untuk membantu pembangunan mereka, tetapi saingan tersebut jauh berbeza dengan Liga Super dari segi kualiti.
"Pemain akan lebih yakin apabila mereka bermain dengan pasukan utama dan akan memberi semangat kepada pemain-pemain yang ingin ke skuad utama apabila mereka melihat ada pemain yang dipanggil daripada skuad Piala MFL ke Liga Super.
"Jika setiap pasukan kelab berikan tahap latihan berintensiti tinggi dan fasiliti yang baik ia boleh memainkan peranan besar bukan sahaja kepada pasukan negara tetapi untuk kelab itu sendiri.
"Kadang-kadang bila kelab Liga Super langsung tidak pakai pemain Piala MFL, itu tidak mendorong atau seolah-olah beri isyarat yang mereka akan dipanggil (ke skuad utama)," ujar Syed Adney.
Sepanjang bermain, Syed Adney beraksi selama empat tahun bersama Harimau Muda daripada 2005 hingga 2009, dan beberapa penampilan direkodkan dengan skuad senio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram