UNTUK seketika, bola sepak Malaysia pernah diterajui oleh pemilik Johor Darul Ta'zim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2017.
Walaupun tempohnya tidak lama, tetapi TMJ berusaha untuk membaiki bola sepak Malaysia secara keseluruhan daripada sekecil-kecil perkara hingga isu besar yang telah lama membelenggu FAM.
Antara isu yang diselesaikan ketika itu adalah memansuhkan nama Harimau Malaysia dan kembali menggunakan Harimau Malaya sebagai gelaran kepada skuad kebangsaan. Ketika itu, penggunaan nama Harimau Malaysia menerima kritikan hebat daripada penyokong.
Satu lagi usaha yang dilakukan oleh TMJ ketika itu adalah dengan mengalihkan jersi serta peralatan skuad Harimau Malaya yang disimpan di Wisma FAM, Kelana Jaya ke stor simpanan Johor Military Force (JMF) yang terletak di Johor Bahru.
Keputusan itu dibuat kerana berlakunya isu barang dan peralatan skuad kebangsaan sering kekurangan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga menyukarkan skuad kebangsaan untuk menggunakannya.
Tindakan membawa semua barangan tersebut ke Johor Bahru bertujuan memastikan keselamatan barangan tersebut daripada terus diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Berikutan kerap berlakunya kekurangan barangan serta jersi pasukan kebangsaan yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti sebelum ini dan menyukarkan pasukan kebangsaan untuk menggunakannya, segala kelengkapan tersebut telah dipindahkan dari Wisma FAM ke stor simpanan Johor Military Force (JMF) di Johor Bahru.
"Ia bagi memudahkan segala urusan diawasi dan mengawal aliran keluar masuk barangan berkenaan. Ini membuktikan betapa seriusnya tindakan yang diambil oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memantau serta situasi tersebut terkawal," kata FAM.
BACA LAGI: Klopp minta maaf musnahkan impian Liverpool
Siaran FAM pada 2017 yang mengatakan barangan Harimau Malaya dipindahkan ke stor JMF. — FAM
BACA LAGI: Bekas pengadil FIFA anggap tak semua perlawanan Liga M perlu VAR
Melangkah ke hari ini, barang-barang yang digunakan untuk skuad Harimau Malaya sudah tidak lagi disimpan di stor JMF. Sebaliknya, ia kembali diletakkan di Wisma FAM.
Malah, TMJ juga tidak lagi menjadi Presiden FAM selepas meletakkan jawatan pada 2018 dengan tempatnya digantikan oleh Datuk Hamidin Mohd Amin hingga sekarang.
Namun begitu, isu tersebut masih lagi berlegar hinggakan sebelum Kongres FAM ke-60 pada 1 April lalu dikejutkan dengan surat layang yang dikeluarkan oleh pihak menggelarkan diri mereka sebagai 'Ultras FAM'.
Dalam surat layang tersebut yang menyentuh pelbagai perkara, Ultras FAM turut menyentuh mengenai isu kekurangan barang skuad kebangsaan hinggakan terdapat staf FAM dibuang kerja kerana dikatakan telah menjual barangan tersebut di platform atas talian.
Jika benar dakwaan itu, pihak FAM sendiri perlu tegas mengawal tangan-tangan yang 'gatal' membawa keluar barangan skuad kebangsaan daripada tempatnya untuk digunakan atas tujuan peribadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram