Kena ada orang di UM letak jawatan — Maszlee Malik


  • Primer
  • Khamis, 25 Apr 2024

Maszlee mahu seseorang bertanggungjawab atas kehadiran profesor yang beberapa kali mengkritik pendirian negara atas krisis Israel-Palestin itu.

BEKAS Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berharap agar salah seorang daripada ahli tertinggi pengurusan Universiti Malaya (UM) tampil bertanggungjawab atas kehadiran seorang pensyarah pro-Israel.

Dalam satu ciapan di akaun X peribadinya pada Khamis, Maszlee mempersoalkan tindakan institut pendidikan tinggi itu yang menjemput pensyarah dikenali sebagai Bruce Gilley pada Selasa lalu.

"Seseorang dalam UM perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya atas perkara ini. Bagaimana seorang yang pro-Zionis dan seseorang yang terbuka mengkritik Malaysia dijemput untuk ke salah satu universiti paling berprestij dalam negara?

"Naib Canselor (VC) perlu menjadi 'gentleman', buatlah permohonan maaf terbuka dan seseorang perlu mengundur diri dengan bermaruah," katanya.

BACA LAGI: 'Baik lantik KJ', 3 sebab Maszlee tak layak bergelar semula Menteri Pendidikan atau Senator

2660479

Kehadiran Gilley dalam satu sesi syarahan di UM sebelum ini mencetuskan kemarahan orang awam.

BACA LAGI: Maszlee Malik disebut calon terbaik reformis pendidikan

Sejak Selasa, universiti nombor satu negara itu menjadi tumpuan ramai selepas menjemput Profesor Sains Politik di Universiti Negeri Portland dalam satu sesi syarahan bertajuk 'Adakah Malaysia akan menjadi kuasa sederhana yang aktif?'

Gilley dengan lantangnya berkata, negara yang mempunyai pemimpin politik menyokong Holokus kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain serius dalam hal ehwal dunia.

Dia turut memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ketika perhimpunan aman pada Oktober 2023 bahawa 'Israel akan hilang tidak lama lagi' sebagai contoh kenyataan anti-Yahudi.

Susulan kenyataan kontroversi itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Khamis, mengarahkan agar pihak UM menyiasat dan memberi laporan berhubung isu membabitkan Gilley.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT mengambil maklum akan perkara tersebut dan sudah mengarahkan agar sebarang program dan aktiviti dijadualkan dihadiri individu terbabit dibatalkan segera.

"Saya turut meminta Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Tidak lama kemudian, UM turut mengeluarkan kenyataan maaf selepas orang ramai, termasuk beberapa parti politik mengecam tindakan pusat pengajian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram