PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Dr Maszlee Malik gagal mempertahankan kerusi Parlimennya di Simpang Renggam.
Maszlee yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad.
Maszlee meraih sebanyak 16,491 undi, manakala Hasni memperoleh 18,312 undi.
Kekalahan bekas Menteri Pendidikan itu pada pilihan raya membuatkan sesetengah penyokong patah hati dan ingin melihatnya kembali bersuara di Dewan Parlimen.
Maszlee (kanan) tewas di tangan Hasni (kanan) pada PRU15.
Ketika ini, satu inisiatif mengumpul tandatangan bagi menyokong Maszlee dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, seterusnya diangkat sebagai Menteri Pendidikan sedang digerakkan.
Inisiatif tersebut digerakkan menerusi laman change.org.
Setakat 1 Disember, inisiatif itu sudah memperoleh 310,041 daripada 500,000 tandatangan penyokong yang disasarkan.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, ada juga segelintir pihak yang menolak Maszlee sebagai senator dan Menteri Pendidikan.
RMT sudah sekian lama dilaksanakan di sekolah.
Hazwira Ramli menyifatkan, tiada keperluan untuk melantik semula bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dalam Parlimen, berikutan beliau dilihat lemah dalam rundingan bertolak ansur dan tidak tegas.
"Timbalan Menteri dia dulu pun dia tak boleh handle isu-isu berbangkit. Akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad ambil alih.
"Idea untuk beri sarapan percuma adalah idea pemimpin lama cuma diperbaharui. 30 hingga 40 tahun lepas sudah ada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid dari keluarga kurang berkemampuan. Tak perlu nak beri sarapan percuma pada semua murid, hanya beri pada kumpulan bersasar, kalau tak mesti membazir.
"Tak ada idea baru sebenarnya untuk rancangan meningkat mutu kualiti pendidikan baik dari guru dan murid-murid," katanya menerusi komen di laman Facebook.
Segelintir pihak menolak Maszlee dilantik semula sebagai Menteri Pendidikan mahupun senator.
Berpendapat sama, Hawa Noor berkata, Maszlee tidak patut dilantik semula menjadi Menteri Pendidikan berikutan kekalahannya dalam PRU15.
"Takkanlah Ahli Parlimen yang menang tak ada yang berkalibar. Takkan main letak je kot?
"Lainlah memang tak bertanding tapi dilantik menjadi Senator dan seterusnya dilantik menjadi menteri atas kepakaran dalam bidang tertentu," tambahnya.
Mengulas mengenai perkara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir menjelaskan tiga sebab Maszlee tidak layak diangkat sebagai Menteri Pendidikan mahupun Senator:
1) Keputusan tidak betul
Jeniri Amir
Jeniri Amir berkata, ketika Maszlee memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, tiada dasar atau pembaharuan yang betul-betul serasi dengan kehendak sekolah dan negara.
Sebaliknya, beliau berkata, Maszlee hanya dilihat membuat keputusan kontroversi.
"Saya fikir beliau tiada pengalaman dan tiada upaya untuk memikul satu tugas yang berat.
"Jadi, saya tidak hairan kalau ada poll mendapati bahawa ramai yang tidak mahu beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan," katanya kepada Majoriti.
2) Tiada kearifan
Isu kasut sekolah putih ditukar kepada kasut sekolah hitam dianggap sebagai perkara remeh.
Jelas Jeniri Amir, Maszlee juga dianggap tiada kearifan dalam memegang Kementerian Pendidikan sedangkan kementerian tersebut penting dan membabitkan banyak pihak, terutamanya jutaan pelajar.
Katanya, beliau juga dianggap sukar untuk mentransformasikan pendidikan berkualiti di negara ini.
"Sebagai contoh, kasut sekolah berwarna putih ditukar kepada kasut hitam. Perkara ini remeh.
"Isu lain adalah seperti kemudahan sekolah di Sarawak daif, bebanan guru-guru, buku teks dan beg sekolah berat. Ini adalah antara soal-soal penting," ujarnya.
3) Kelayakan sebagai Senator
Khairy (dua dari kanan) bergambar bersama pengundi ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Pada masa sama, Jeniri Amir turut menganggap Maszlee tidak layak untuk diangkat menjadi senator kerana beliau masih bukan disifatkan sebagai pemimpin luar biasa dan hebat.
"Beliau tidak setanding pemimpin heavy lain. Kalau beliau macam KJ (Khairy Jamaluddin) bolehlah jadi.
"Kenapa tak lantik KJ berbanding dia?" soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram