Bersedia 2 tahun lebih awal, Sukma Perak mahu kembali digeruni dan enggan kecewa lagi


  • Podium
  • Khamis, 25 Apr 2024

Persiapan kontinjen pasukan Perak untuk ke Sukma Sarawak kini memasuki fasa akhir. — Facebook/MSN Perak

DEBARAN menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) semakin mendebarkan apabila setiap pasukan sudah tidak sabar untuk berada di puncak kutipan pingat bagi edisi tahun ini.

Tahun lalu, Johor membuktikan keunggulan mereka apabila meraih 172 pingat secara keseluruhan dengan 77 daripadanya merupakan pingat emas.

Jadi, dalam misi mencabar kedudukan itu, setiap pasukan sudah mula membuat persiapan terakhir dengan hanya kira-kira empat bulan berbaki untuk temasya tersebut.

Pasukan yang sedikit kecewa pada edisi lalu, Perak boleh dikatakan cukup bersedia untuk kembali digeruni selepas hanya berada di tangga kelapan pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur (KL).

BACA LAGI: Masuki fasa terakhir, Pulau Pinang sasar 40 pingat emas Sukma Sarawak tanpa kontinjen sofbol

438275030_751975070450849_3463017224977762542_n

Perbincangan terus dibuat pihak pengurusan Sukma Perak. Facebook/MSN Perak

Ketua Unit Sukma negeri, Fadzrie Che Li berkata, persiapan sudah dibuat kontinjen sejak mereka menutup kempen yang kurang memberangsangkan dua tahun lalu.

"Dari segi persiapan, kami sudah buat sejak habisnya Sukma 2022. Kita sudah adakan mesyuarat post-mortem, maknanya kita sudah buat beberapa proses.

"Selepas kita selesai buat post-mortem, kita kategorikan sukan mengikut Kategori A, B dan C dengan Kategori C adalah sukan yang tidak mencapai sasaran ketika Sukma sebelum ini," katanya kepada Majoriti.

Dalam temasya sebelum ini, kontinjen Perak memungut 101 pingat dengan ia merupakan penurunan ketara berbanding pada 2018 ketika mereka menjadi tuan rumah dengan 143 pingat diperoleh.

BACA LAGI: Sukma: Elak timbul rasa tak puas hati, MSN akan tambah baik kaedah pinjam atlet

1

Kontinjen Sukma Perak berada di kedudukan kelapan dalam edisi Sukma yang lalu. MSN Perak

Menurutnya lagi, persiapan akhir menjelang temasya pada Ogos itu menyaksikan mereka sudah mengadakan latihan bersama negeri lain.

"Kami juga sudah menghantar atlet ke program luar negara untuk beberapa sukan. Maknanya, dari segi pendedahan, setakat ini memuaskan hati daripada setiap pasukan," katanya lagi.

Berdasarkan kenyataan sebelum ini, Sukma Sarawak kali ini menyaksikan sambutan hangat dengan penyertaan daripada kira-kira 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri dan juga kontinjen jemputan Brunei.

Sejumlah 37 jenis sukan meliputi 484 acara bakal dipertandingkan dalam temasya yang akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram