Masuki fasa terakhir, Pulau Pinang sasar 40 pingat emas Sukma Sarawak tanpa kontinjen sofbol


  • Podium
  • Selasa, 09 Apr 2024

Pulau Pinang hanya berada di tangga ketujuh selepas meraih 100 pingat dalam Sukma edisi lalu di Kuala Lumpur. — Buletin Mutiara

KEJOHANAN Sukan Malaysia (Sukma) akan menjadi pentas buat setiap negeri membuktikan bahawa mereka memiliki barisan atlet terbaik.

Tahun lalu, Johor menjadi juara keseluruhan setelah mengaut 172 pingat dengan 77 daripadanya merupakan pingat emas dengan ia pastinya diraikan penduduk negeri itu.

Jadi, untuk termasya kali ini, pencabar lain pastinya akan lebih bersemangat untuk membuktikan kemampuan masing-masing di peringkat kebangsaan.

Antara negeri yang kini sibuk melakukan persiapan ialah Pulau Pinang yang hanya berada di tangga ketujuh pada edisi lalu selepas meraih 100 pingat.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) mereka, Harry Chai Heng Hua berkata, persiapan kontinjen kini sudah memasuki fasa terakhir iaitu pemilihan atlet.

BACA LAGI: JDT cipta sejarah ungguli Sukma 2022, sapu hampir semua pingat setiap acara

417518957_789335589897037_4107341156319897147_n

Harry Chai berkongsi kriteria dalam pemilihan atlet ke Sukma ke-21 di Sarawak. Facebook/MSN Penang

"Penetapan atlet terbaik negeri ini akan dibuat berteraskan kepada kriteria dan syarat-syarat pencapaian terkini dan prestasi terbaik atlet berkenaan dalam tempoh semasa yang ditetapkan menerusi persetujuan.

"Hal ini dibuat bagi memastikan mereka yang terpilih merupakan antara yang benar-benar berwibawa dan layak membawa nama negeri dan harapan 1.7 juta penduduk Pulau Pinang," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, persetujuan dibuat antara Persatuan Sukan Negeri, Jurulatih Sukan Negeri dan MSN dengan mereka kini sudah menyenarai pendek atlet yang bakal berentap.

Sukma kali ke-21 bakal diadakan di Sarawak bermula 17 sehingga 24 Ogos dengan hampir kesemua permainan bakal diadakan di Kuching.

Tambah Harry, pihaknya sudah menetapkan sasaran 40 pingat emas daripada 37 acara dipertandingkan dengan sasaran berkenaan lebih baik berbanding 30 yang dikumpul pada edisi lalu.

BACA LAGI: Johor optimis muncul juara Sukma buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun

434043417_802822185215044_2046913289970890493_n

Latihan dan persiapan akhir kini diadakan kontinjen Sukma Pulau Pinang. Facebook/MSN Penang

Namun, peluang untuk meraih sebarang pingat dalam sukan sofbol tidak akan tercapai selepas Pulau Pinang mengambil keputusan menarik diri daripada acara berkenaan.

"Pulau Pinang membuat keputusan untuk tidak akan mengambil bahagian sukan sofbol berdasarkan kepada faktor yang mana atlet menjalani latihan masih berada di peringkat pembangunan dan belum bersedia untuk mewakili negeri.

"Selebihnya akan menyaksikan kepada prestasi akhir pasukan dan prestasi atlet terkini yang perlu melepasi kriteria dan syarat-syarat prestasi yang ditetapkan," katanya.

Antara kriteria wajib ditetapkan adalah atlet perlu melepasi ujian kecergasan yang ditetapkan, berada dalam program latihan ditetapkan dan berada dalam ranking kejohanan sukan negara yang baik.

Selain itu, pasukan juga perlu membuktikan keupayaan melayakan diri ke peringkat suku akhir atau separuh akhir bagi mana-mana kejohanan peringkat kebangsaan yang disertai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram