Sukma: Elak timbul rasa tak puas hati, MSN akan tambah baik kaedah pinjam atlet 


  • Podium
  • Selasa, 23 Apr 2024

Kekurangan pelapis memaksa atlet berusia seperti Pandelela terpaksa mengerah tenaga untuk mewakili Malaysia dalam acara sukan terjun.

ISU pelapis atlet dalam acara terjun tanah air menyaksikan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) terpaksa menjadi 'orang tengah' untuk menyelesaikan isu kurang penyertaan menerusi kaedah 'pinjam' atlet.

Kaedah berkenaan bagaimanapun tidak berhasil untuk Sukan Malaysia (Sukma) kali ini apabila acara terjun 10 meter (m) platform wanita digugurkan atas faktor kekurangan jumlah penyertaan dan secara tidak langsung menunjukkan insiatif pinjam pemain tidak membantu mengatasi masalah berkenaan.

Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, Pengarah Teknikal MAS, Bryan Nickson, berkata kaedah pinjaman boleh dilakukan namun perlu mendapat persetujuan pengarah Majlis Sukan Negeri yang terlibat.

Walaupun kaedah pinjam atlet ini agak memalukan untuk negara yang pernah mendapatkan pingat di saingan Olimpik dalam acara terjun, namun ia perlu dilaksanakan bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Begitupun, kaedah pinjam bakat boleh menimbulkan salah faham antara negeri yang terlibat terutamanya apabila ada jurulatih tidak bersetuju dengan cara berkenaan kerana kurang yakin dapat memenangi pingat.

BACA LAGI: MSN jamin akan kurangkan latihan skuad terjun di China, fokus siapkan 'dry gym'

KP MSN

Abdul Rashid memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN pada November.

Oleh itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub menegaskan pihaknya akan mengemaskini dengan menambah baik peraturan kaedah pinjam atlet ini.

"Kita ada peraturan tetap untuk mengawal kaedah pinjam atlet.. Dari semasa ke semasa kami akan kemaskini peraturan. Zaman sekarang pula berbeza, antara negeri pun borderless, atlet dah boleh pergi sana sini dengan mudah.

"Memang pernah timbul isu kaedah ini tapi dah selesaikan pada mesyuarat sebelum ini. Rasa tak puas hati itu tidak dapat dikawal. Kita akan pastikan negeri yang paling layak miliki atlet (pinjam atlet), dia akan dapat," katanya kepada Majoriti di Menara Kementerian Belia Sukan (KBS), Putarajaya baru-baru ini.

Menurutnya, kekurangan pelapis sehingga perlu meminjam atlet berlaku kerana terdapat beberapa negeri tidak memberi fokus kepada acara terjun, di samping dana yang tidak mencukupi untuk membangunkan program bakat muda.

BACA LAGI: Elak isu pelapis atlet timbul, Hannah minta semua MB teliti semula portfolio sukan

hannah yeoh

Hannah menyeru agar kerajaan negeri memberi sokongan terhadap sukan untuk menyelesaikan isu kekurangan pelapis.

Masalah berkenaan menyebabkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua kerajaan negeri tidak menganaktirikan portfolio sukan dan memberi komitmen untuk melabur dalam industri berkenaan.

"Sesetengah negeri ada fokus tetapi bajet negeri tak sama. Semua ini bergantung kepada negeri-negeri tapi kami sentiasa nasihatkan apa sahaja tindakan dibuat tidak beri kesan kepada penyertaan atlet.

"Kalau boleh bagi peluang atlet untuk menyertai, nak wakili negeri mana perlu ikut peraturan yang ditetapkan Sukma," katanya yang bersetuju kaedah pinjam membantu atlet untuk berkembang jika tidak mendapat peluang di negeri sendiri.

Sebelum ini juga Majoriti mendedahkan beberapa isu berkaitan kem terjun negara yang kini berdepan masalah ketandusan atlet pelapis, antaranya kerana kurangnya tumpuan Majlis Sukan Negeri terhadap acara berkenaan, walaupun di peringkat kejohanan global sukan ini telah menyumbang hampir 150 pingat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram