SEPANJANG tiga musim beraksi buat skuad Sang Penyu, Habib Haroon berjaya memainkan peranan penting dalam menjadikan kelab itu sebagai antara yang terbaik dalam Liga Super.
Ketangkasan, ketenangan serta sikap kepimpinan di atas padang merupakan antara kelebihan dimiliki pemain tengah dari Bahrain itu.
Selain itu, kebolehannya untuk beraksi secara kerap menyaksikannya menjadi nadi utama Terengganu FC yang beberapa kali memberi cabaran di pentas domestik dan Asia.
Tetapi, perancangan berbeza daripada pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner menyaksikan Habib terpaksa mencari kelab baharu pada jendela perpindahan kali ini.
BACA LAGI: Didakwa ada isu gaji bikin kelab Liga Super berminat borong bintang KDA FC
Habib memilih untuk menyertai skuad Sang Kenari selepas meninggalkan Terengganu FC. — Facebook/KDA FC
Jadi, dengan tiada pasukan dilihat sesuai dengan gaya permainannya, pemain berusia 23 tahun itu akhirnya memilih untuk kembali bekerjasama dengan bekas jurulatih, Nafuzi Zain di Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Perpindahan tersebut sememangnya menjadi bahan bualan memandangkan Habib memiliki dua musim cemerlang ketika berada di bawah bimbingannya.
Bagaimanapun, masih terdapat persoalan mengenai kesanggupan pemain tengah itu dalam melupakan Terengganu FC yang menjadi platform buatnya bersinar dalam Liga Super.
Ini dapat disaksikan apabila satu video tular baru-baru ini memaparkan Habib sebak ketika diraikan kumpulan ultras kelab Pantai Timur tersebut.
BACA LAGI: Buru tiket AFC, Nafuzi terus hargai pemain KDA FC
Hubungan dengan Nafuzi (kiri) merupakan salah satu sebab Habib memilih skuad Sang Penyu. — Facebook/KDA FC
Perkara itu berlaku ketika KDA FC bertemu skuad Sang Penyu dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu dengan pemain berkenaan turut diturunkan.
Selepas perlawanan berakhir, jeneral tengah itu kelihatan mengambil masa menghargai sokongan daripada penyokong dan Ultras Terengganu yang masih belum dapat melupakannya.
Selain menepuk tangan sebagai tanda penghargaan, Habib juga didapati mengalirkan air mata atas rasa terharu dengan sorakan diajukan kepadanya.
Untuk rekod, pemain dengan ketinggian 1.7 meter itu merekodkan 69 penampilan secara keseluruhan buat Terengganu FC, termasuk enam daripadanya dalam kempen Piala AFC musim lalu.
Sepanjang diturunkan, Habib menjaringkan tiga gol selain mencetak empat bantuan jaringan dalam membantu pasukan itu digeruni dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram