PENGGUNAAN Video Bantuan Pengadil (VAR) buat kali pertama membabitkan aksi kompetitif pasukan tempatan menyaksikan pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Brendan Gan menjadi ‘mangsa’ kepada teknologi berkenaan apabila dilayangkan kad merah.
Perlawanan KL City menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin merupakan saingan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan.
Brendan dilayangkan kad merah pada minit ke-79 selepas pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin melakukan semakan berulang apabila pemain tersebut didakwa melakukan kekasaran terhadap lawan.
Dalam perlawanan tersebut, teknologi VAR pertama kali digunakan pada minit ke ke-18 bagi memeriksa kesalahan di kawasan kotak penalti NSFC.
BACA LAGI: Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah sah ke Olimpik Paris 2024
Meskipun bola dikatakan terkena tangan pemain skuad Jang itu namun selepas semakan VAR, Zamzaidi memilih untuk sekadar memberikan sepakan penjuru.
VAR digunakan lagi pada minit ke-35 dan kali ini, Zamzaidi melakukan semakan di monitor tepi padang dan memberikan penalti kepada KL City, termasuk kad kuning buat pemain NSFC, Che Rashid Che Halim.
Zhafri Yahya yang mencetak gol pembukaan pada minit ke-23 meletakkan The City Boys di hadapan sebelum Paulo Josue meledak gol kemenangan kedua buat KL City.
NSFC merapatkan jurang gol menerusi N Javabilaarivin empat minit sebelum babak pertama berakhir dan kedudukan 2-1 kekal berpihak kepada KL City sehingga wisel penamat sekali gus bergelar juara.
Secara keseluruhan, penggunaan VAR pada perlawanan terbabit menyaksikan lebih lima kad kuning dilayangkan manakala seorang pemain dibuang padang selain tambahan masa secara keseluruhan sehingga 23 minit.
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong tanah air tidak bersetuju dengan tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada bekas tonggak Selangor FC itu.
Bukan itu sahaja, malah ada juga segelintir penyokong yang mengkritik bahawa VAR tersebut hanya mempunyai satu sudut sahaja tidak seperti aksi di Piala Asia.
"Macam mana boleh kad merah sedangkan tengok guna kamera pun tak jelas, terjahan Brendan Gan tu kad kuning sepatutnya," kata Arie Typenk.
"VAR dengan video begitu jauh, amat memalukan, kalau nak ikut guna VAR, gunalah dengan sepenuhnya, letaklah lebih banyak kamera yang boleh ambil dari pelbagai sudut dan yang penting cameraman tahu buat zooming," kata Ricky CL.
"Permulaan yang baik tapi paling bagus pasang beberapa kamera lagi supaya dapat rakam pelbagai sudut, Piala Asia pun nampaklah juga dua tiga sudut," kata John Simpul.
"Pengadil tak dapat view angle lain, macam mana dia boleh yakin dengan view yang jauh tu? Tak patut buat keputusan kalau tak jelas dan yakin," kata Zahid Zaza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram