SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menutup kempen Piala Asia B-23 2024 tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Kuwait pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub, Qatar pada awal pagi Rabu.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak buah Juan Torres Garrido berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa mengutip sebarang mata.
Rekod itu sekali lagi mengulangi sejarah edisi 2022 di Uzbekistan apabila skuad Harimau Muda gagal mencatat sebarang kemenangan dalam aksi kumpulan selepas mencipta sensasi mara ke suku akhir pada 2018 di China.
Tidak tahan dengan persembahan buruk Harimau Muda, bekas pemain Selangor FC, S. Subramaniam mengingatkan para pemain untuk memberikan fokus bagi meningkatkan prestasi dan bukan hanya mementingkan penampilan.
BACA LAGI: Pengaruh Kim Pan-gon, baka Samba antara 3 negara pemain import paling ramai musim depan
BACA LAGI: Jaring 19 gol dalam 28 perlawanan, Mika Junco pesaing baharu Bergson
Subramaniam menganggap fokus Harimau Muda telah tersasar dan mahu para pemain bertindak segera untuk memperbaiki apa yang sepatutnya.
"Saya ingin memberi nasihat bukan sebagai jurulatih tetapi sebagai seorang abang, daripada sibuk membuka peti surat media sosial (direct messages), lebih baik mereka fokus tingkatkan prestasi.
"Saya lihat ada pemain yang lebih fokus terhadap warna rambut berbanding apa yang ada.
"Sebagai seorang pemain, ilmu bola sepak lebih penting berbanding warna rambut," katanya dalam Astro Arena.
Penolong jurulatih Melaka itu, dilihat tidak berpuas hati dengan tahap disiplin yang dipamerkan para pemain yang pulang ke tanah air dengan kekalahan hatrik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram