
LATIHAN panjang di China yang sebelum ini menjadi keluahan kem terjun negara akhirnya didengari Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengesahkan pembinaan dry gym atau dewan latihan akan mula dilaksanakan tidak lama lagi.
China ibarat kampung halaman kedua kem terjun negara apabila sering menjadi destinasi utama untuk penerjun negara berlatih berikutan kekurangan kemudahan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di ibu negara.
Namun, latihan yang sudah sinonim dengan atlet terjun tanah air itu rupanya kurang digemari apabila ia didedahkan bekas jurulatih terjun negara, Christian Brooker yang masih berhubung dengan beberapa atlet di bawah bimbingannya.
Brooker mendakwa seorang atlet wanita yang tidak didedahkan namanya memaklumkan bahawa seluruh pasukan enggan menjalani latihan di China sebagai persediaan sebelum ke Kejohanan Akuatik Dunia edisi ke-21 di Doha, Qatar pada Februari lalu.
Mengambil berat keluhan para atlet negara berkenaan, Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub mengesahkan pembinaan dewan latihan yang sedang dalam proses tender akan membantu mengurangkan jadual latihan di Negara Tembok Besar berkenaan.
BACA LAGI: Isu bajet dan jurulatih, Christian Brooker dakwa pernah tegur MSN demi selamatkan kem terjun negara
Abdul Rashid Memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN pada November.
"Sukan terjun nak bina dry gym dan ia sesuatu yang baharu dalam negara. Selepas ini, mungkin penghantaran atlet ke China atau negara lain dapat dikurangkan, sekali gus menjimatkan kos. Atlet boleh banyak buat latihan dengan fasiliti baharu.
"Pembinaan masih di peringkat awal, kemungkinan pertengahan tahun ini proses tender bermula. Terima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan kerana beri persetujuan untuk pembinaan fasiliti baharu ini.
"Pembinaan akan ambil masa 18 bulan, bermaksud dua tahun maksimum untuk siapkan dry gym berkenaan," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Menara Kementerian Belia Sukan (KBS), Putarajaya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid yang baru memegang jawatan berkenaan pada November lepas turut mengulas dakwaan Brooker mengenai pihak MSN tidak menerima ideanya atas dasar tidak begitu mengenali landskap sukan tanah air.
Memetik laporan Majoriti sebelum ini, Brooker memberitahu bahawa sistem pemarkahan (score system) yang kini sudah diperkenalkan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) sudah lama diusul olehnya namun tidak mendapat sokongan MSN.
Abdul Rashid menegaskan ketika Brooker menyandang jawatan selaku jurulatih kem terjun negara, tentu pihak MSN melibatkannya dalam sebarang mesyuarat dan menerima pandangan yang diutarakannya.
BACA LAGI: Christian Brooker dedah atlet terjun mengadu, enggan berlatih di China sebelum kejohanan dunia Doha
Brooker meninggalkan Malaysia pada 2021 selepas menyertai skuad negara pada Disember 2017.
BACA LAGI: Sistem skor terpaksa disegerakan, langkah drastik atasi isu ketandusan pelapis terjun negara
"Tidak timbul hal kami tak terima idea dia. Saya pasti masa dia berada di sini, kita dah buat banyak perbincangan. Jadi bila dah ada pertemuan, pasti ia persetujuan bersama. Saya rasa pun dia dah lama tidak bersama kita, jadi tak berapa cantiklah nak buat komen begitu.
"Kebiasaan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja program, pasti akan berbincang dengan pihak jurulatih. Atlet pun bagi pandangan kepada persatuan. Komen-komen seperti ini iaitu selepas apa yang berlaku tidak sepatutnya timbul.
"Kalau ada perkara yang tidak elok, perlu baiki. Tidak usah nak menuding jari sana sini. Perkara dah berlaku dan atlet pun tak layak (ke Olimpik), jadi perlu cari jalan untuk baiki keadaan supaya atlet terjun dapat layak ke Olimpik seterusnya," katanya yang menganggap Brooker hanya ingin mencari salah MSN selepas kegagalan di bumi Qatar.
Prestasi merudum kem terjun negara khususnya wanita menyaksikan tiada seorang pun berjaya melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas konsisten di temasya berkenaan sejak Sydney 2000.
Persembahan kurang memuaskan dua tonggak utama seperti Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri ketika menyertai kejohanan di Doha menyaksikan kali pertama dalam tempoh 24 tahun, wakil wanita Malaysia tidak layak beraksi di pentas Sukan Olimpik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram