'Tanya orang sebelum ini', Andy Low dedah MAS hanya dapat 3 penaja kecil walau raih 145 pingat antarabangsa


  • Podium
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Acara terjun sudah mengumpul 145 pingat melibatkan empat kejohanan penting iaitu Sukan SEA; Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik. — Agensi

PENCAPAIAN di peringkat global seperti meraih pingat di kejohanan Olimpik tidak menjanjikan kewangan kukuh buat kem terjun negara apabila sehingga kini mereka belum pernah mendapat tajaan daripada syarikat korporat gergasi.

Sukan akuatik khususnya acara terjun sudah mengumpul 145 pingat melibatkan empat kejohanan penting iaitu 101 pingat Sukan SEA; Sukan Komanwel (17), Sukan Asia (25) dan selebihnya ketika menyertai Sukan Olimpik.

Pingat pertama Olimpik diperoleh sukan berkenaan ketika Datuk Pandelela Rinong menyertai acara 10 meter (m) platform individu di edisi London 2016 dan melakar sejarah sebagai atlet pertama meraih pingat gangsa.

Empat tahun lepas pula, edisi Rio de Janeiro, Pandelela memenangi pingat perak dalam platform serentak 10m bergandingan dengan Cheong Jun Hoong yang menjadikan mereka pasukan wanita Malaysia pertama merangkul pingat perak di kejohanan dunia itu.

Malangnya ketika zaman kegemilangan kem terjun, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) yang sebelum ini dikenali sebagai Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) masih gagal menjalin kerjasama dengan syarikat swasta terkemuka.

BACA LAGI: Dah menyumbang beratus pingat, tapi mana syarikat korporat? — Bryan Nickson

WhatsApp Image 2024-04-11 at 23.10.44

Sukan akuatik khususnya acara terjun sudah mengumpul 145 pingat buat tanah air. — Agensi

Perkara berkenaan turut disahkan oleh Setiausaha Agung MAS, Andy Low yang kini menyimpan hasrat untuk melihat perubahan besar berlaku dalam persekutuan berkenaan terutamanya daripada segi kewangan.

"Isu ini dari dulu, kena tanya orang sebelum ini (ketika dikenali sebagai ASUM). Seharusnya ketika atlet kita menyerlah di peringkat global, itulah masa sesuai untuk ketengahkan penaja korporat. Macam masa Lela (Pandelela) menang medal, renang pun ada medal, patutnya ambil kesempatan itu untuk mendapatkan penaja.

"Sekarang graf turun jadi tak memberangsangkan. Kalau dapat emas di peringkat tinggi untuk sekarang mungkin lebih mudah dapat tajaan," katanya ketika dihubungi Majoriti, baru-baru ini.

Andy yang memegang jawatan berkenaan pada tahun lepas itu mahu menyaksikan syarikat minyak dan gas negara, Petronas atau organisasi perbankan untuk menaja mereka.

Menurutnya, persekutuan berkenaan kini hanya menerima tajaan kecil untuk membantu memberi dana ketika kejohanan dalam negara berlangsung dan ia sememangnya tidak mencukupi untuk membiayai perkara lain.

WhatsApp Image 2024-04-11 at 23.10.45

Andy mahu menyaksikan Petronas atau organisasi perbankan untuk menaja MAS. — Agensi

"Sekarang ini ada tiga penaja kecil tapi selalu terlibat untuk kejohanan sahaja. Contoh Nestle dan Milo taja kelengkapan kejohanan seperti sijil, medal, kemeja-T, backdrop dan banner.

"Arena (Astro) pula taja kemeja-T untuk kejohanan. Satu lagi DSA (D Swim Academy) bantu sediakan kolam diguna ketika latihan secara percuma. Setakat ini belum ada yang serius ingin menaja. Jika ada yang berminat, mungkin boleh duduk berbincang," jelasnya.

Tambahnya, tajaan dari syarikat korporat diperlukan bagi membantu mereka membiayai jurulatih berkualiti untuk membantu meningkatkan kemahiran atlet tanah air, selain diperlukan untuk menambah baik kelengkapan.

Antara kelengkapan diperlukan MAS ialah papan anjal moden terbaharu yang difahamkan sudah luluskan Majlis Sukan Negara (MSN) namun beberapa alat lain seperti harness juga masih belum dimiliki Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

Sekiranya jalinan kerjasama dengan syarikat korporat berhasil diperoleh MAS, skuad terjun negara tidak perlu bersusah payah terbang ke China bagi menjalani latihan sebelum menempuh kejohanan besar kerana segala-galanya melibatkan kos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram