SIAPA yang mengikuti perkembangan pasukan terjun negara pasti mengetahui hampir setiap tahun skuad itu akan berkampung di China bagi menjalani latihan berintensiti tinggi sebagai persediaan sebelum melangkah ke kejohanan besar.
Negara Tembok Besar itu dipilih menjadi pusat latihan sementara atlet podium negara kerana kekurangan kemudahan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di mana sebahagian peralatan latihan semakin usang sekali gus tidak sesuai digunakan bagi menambah skil mereka.
Seperti yang dilaporkan Majoriti sebelum ini, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) masih menunggu kelengkapan baharu termasuk papan anjal moden untuk dilengkapkan di pusat akuatik sedia ada di Bukit Jalil.
Untuk rekod, sejak beberapa tahun, atlet terjun menghabiskan tempoh latihan panjang di China berikutan kemudahan yang ada di dalam negara kurang sesuai kerana telah diguna pakai ketika negara terlibat dalam Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001 dan 2017 serta Sukan Para Asean 2017.
Namun, siapa sangka latihan yang sudah sebati dengan kem terjun tanah air tersebut rupa-rupanya diikuti atlet podium tanpa kerelaan hati mereka, sebaliknya hanya mematuhi arahan Majlis Sukan Negara (MSN).
Perkara berkenaan didedahkan oleh bekas jurulatih terjun negara, Christian Brooker yang kini masih berhubung baik dengan beberapa atlet tanah air dan sehingga kini menjadi medium untuk atlet meluah perasaan.
Brooker meninggalkan Malaysia pada 2021 selepas menyertai skuad negara pada Disember 2017.
Seorang atlet wanita yang tidak didedahkan namanya memaklumkan seluruh pasukan tidak ingin menjalani latihan di China sebagai persediaan sebelum ke Kejohanan Akuatik Dunia edisi ke-21 di Doha, Qatar pada Februari lalu.
"Atlet itu memberitahu saya tentang kem latihan ke China sebelum mereka menyertai kejohanan dunia. Hakikatnya tiada seorang pun penerjun yang mahu pergi ke kem latihan itu. Sebenarnya kem latihan itu boleh diadakan di Malaysia dan mereka tidak perlu ke China.
"Mengapa perlu ke China selama enam minggu untuk melakukan perkara sama sedangkan ia boleh dilakukan di Malaysia? Cuba fikir, bukankah ia membuang masa dan wang? Ia satu pembaziran," demikian dakwanya kepada Majoriti ketika ditemu bual menerusi platform Google Meet, baru-baru ini.
Ternyata latihan di China itu kurang membuahkan hasil apabila tiga atlet podium utama iaitu Datuk Pandalela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee gagal melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada awal Februari lalu.
Tambah bekas jurulatih negara kelahiran Australia yang pernah berkhidmat selama empat tahun bersama skuad terjun elit bermula 2017 itu, sepatutnya pihak MSN boleh menggunakan dana menghantar atlet terjun ke China untuk menambahbaik fasiliti di Bukit Jalil.
BACA LAGI: Sistem skor terpaksa disegerakan, langkah drastik atasi isu ketandusan pelapis terjun negara
Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.
Menurutnya, Pusat Akuatik Bandar Tun Razak dekat Cheras, Kuala Lumpur juga sepatutnya diselenggara semula bagi menjadi pusat latihan sandaran buat kem terjun negara sebagai persediaan sebelum bersaing di kejohanan besar.
"Kebanyakan kolam di Malaysia tidak mempunyai watar harness atau abah-abah air. Terdapat satu di Cheras tetapi keadaannya teruk kerana tidak diselenggara dengan baik. Mereka memerlukan papan anjal baharu dan permukaan baharu pada platform.
"Banyak yang semakin uzur. Setiap kali saya cadangkan untuk tambah fasiliti itu, mereka kata ia tidak boleh dilakukan. Mereka (MSN) tidak pernah berusaha untuk mencuba dan mendapatkan abah-abah air. Ia adalah peralatan penting di setiap kolam," dakwanya lagi.
Malahan Brooker turut menegur MSN sebagai entiti yang diberi kepercayaan untuk menguruskan sukan lain termasuk kem terjun negara supaya menjalankan tugas sebaik mungkin jika ingin mencapai objektif mendapat pingat emas di Sukan Olimpik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram