'Hikmah' kena gantung perlawanan, Ronaldo dapat hampir RM50 juta


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Penyerang antarabangsa Portugal itu sekali lagi terpalit dengan kontroversi akibat kelakuan ganas dilakukannya baru-baru ini. — Agensi

PENYERANG Al-Nassr, Cristiano Ronaldo sememangnya tidak pernah asing dengan kontroversi kerana masalah itu terus diulanginya sehingga hari ini.

Ia dapat disaksikan baru-baru ini apabila dia didapati menyiku pemain Al-Hilal, Ali Al-Bulayhi dalam separuh akhir Piala Sumbangsih Arab Saudi pada 9 April lalu.

Kelakuan tersebut menyaksikan pemain berusia 39 tahun berkenaan dilayangkan kad merah, sekali gus mencalarkan lagi imejnya dalam bola sepak Timur Tengah.

Hukuman dihadapinya tidak terhenti di situ apabila pada Rabu, badan induk bola sepak Arab Saudi mengumumkan kapten skuad antarabangsa Portugal itu bakal dikenakan denda lebih berat.

Berdasarkan pengumuman pada Khamis, Cristiano Ronaldo akan digantung untuk dua perlawanan di samping perlu membayar 20,000 riyal (RM25,483) atas tindakan ganas berkenaan.

BACA LAGI: Cristiano Ronaldo pecah rekod legenda Harimau Malaya

cristiano-ronaldo-juventus-sassuolo_pp500y26e7to1xgrq80pwx1y3

Cristiano Ronaldo beraksi untuk tiga musim bersama Juventus. Agensi

BACA LAGI: Bekas bintang Man United, Cristiano Ronaldo mahu saman Juventus

Namun, perkhabaran buruk itu tidak terlalu memberi kesan terhadap bekas tonggak Manchester United berkenaan apabila dia akan menerima durian runtuh.

Hal itu selepas keputusan mahkamah yang mengarah kelab terdahulunya, Juventus untuk membayar $9.7 juta (RM46.35 juta) kepadanya berikutan hutang bayaran gaji ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

Sebelum ini, Cristiano Ronaldo dilaporkan bersetuju untuk mengurangkan bayaran diterima daripada kelab Itali itu yang terkesan dari segi kewangan.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah menyaksikan gergasi bola sepak Eropah berkenaan perlu membuat bayaran tersebut kepada penyerang berkenaan.

Pemain terbabit sebelum ini beraksi buat skuad The Old Lady bermula musim 2018 sebelum meninggalkan kelab itu akibat masalah dalaman tiga tahun kemudian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram