SATU ketika dahulu, seorang penyokong Chelsea pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia setelah melepaskan kemarahan di media sosial.
Abhradeep Saha atau lebih dikenali sebagai Angry Rantman oleh orang ramai mencipta sensasi berikutan satu video dibuat selepas skuad The Blues mengalami kekalahan 0-4 kepada Manchester United di Old Trafford pada 2019.
Sejak itu, penyokong berasal dari India berkenaan terus diangkat sebagai salah seorang pengikut tegar kelab London tersebut di peringkat antarabangsa setiap kali gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu beraksi.
Namun, baru-baru ini, satu berita tragis diterima selepas dia disahkan meninggal dunia pada usia 27 tahun akibat masalah kesihatan dialaminya.
Perkhabaran duka berkenaan dikongsikan ahli keluarga mendiang di media sosial beberapa hari selepas dia menjalani pembedahan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
BACA LAGI: [VIDEO] Rebut sepakan penalti, Pochettino label 3 bintang Chelsea kebudak-budakan
Video dimuat naik Angry Rantman yang membuatkannya dikenali ramai satu ketika dahulu.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati alami kekalahan, pengurus Chelsea tolak jurulatih lawan
"Kehilangannya pasti dirasai jutaan peminat bola sepak seluruh dunia kerana kesungguhan, kejujuran serta semangat ditonjolkannya sukar ditiru sesiapa sahaja.
"Sedang kita memperingati mendiang, janganlah kita lupa akan kegembiraan pernah diberikannya dalam menyokong kelab kegemarannya," tulis keluarga Abhradeep.
Kali terakhir mendiang memuat naik video berkaitan Chelsea di akaun YouTube peribadinya adalah pada 26 Februari lalu dengan dia mendesak pengurus kelab, Mauricio Pochettino digantikan segera.
Meskipun kritikannya kadang kala sukar diterima, semangat ditonjolkannya setiap kali berbicara sukar dipertikaikan dengan ia sememangnya mencuit hati.
Sepanjang bergiat aktif di media sosial, Abhradeep meraih lebih daripada 486,000 pengikut di YouTube dan hampir 200,000 lagi di Facebook. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram