LUAHAN pemain Piala MFL Kedah Darul Aman (KDA) FC, Naqib Sharipuddin baru-baru ini seperti mengesahkan bahawa kelab Utara tanah air itu sedang berdepan isu tunggakan gaji.
Masalah berkenaan sebelum ini hanya disebut-sebut dalam kalangan penyokong dengan pihak pengurusan enggan memberi sebarang penjelasan mengenainya.
Namun, setelah didedahkan bek kanan KDA FC B itu, sukar untuk pasukan tersebut daripada terus berselindung mengenai kemelut yang dihadapi.
Isu berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan peluang mereka dalam merebut slot ke pentas Asia musim depan dengan lima mata membezakan skuad Sang Kenari dengan tangga kedua yang diduduki Selangor FC ketika ini.
Tidak cukup dengan itu, masalah kelewatan gaji juga dikhuatiri hanya mengakibatkan beberapa pemain mengangkat kaki demi mencari sebuah kelab lebih baik.
Penulisan laman penyokong yang pastinya dikhuatiri penyokong Hijau Kuning.
Situasi terbabit dilihat hanya akan merencatkan perancangan yang direncanakan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dengan pemain dimiliki kelab itu.
Kerisauan berkenaan turut dikuatkan dengan satu ciapan daripada laman penyokong di Threads @kdafc_officialfans yang mengatakan beberapa tonggak mula 'dirisik' kelab-kelab Liga Super.
Meskipun tidak menyatakan dengan khusus pemain-pemain itu, tidak salah untuk meneka sebahagian daripada mereka yang mempamerkan aksi cukup baik musim ini.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga nama yang dijangka akan disambar pada jendela perpindahan akan datang akibat isu pengurusan yang dialami KDA FC:
1. Manuel Hidalgo
Selepas tiba dari Sri Pahang FC awal musim lalu, pemain sayap Argentina, Manuel Hidalgo terus menjadi tonggak utama dalam jentera serangan skuad Sang Kenari.
Kebolehannya dalam menggerakkan bola serta melakukan hantaran sememangnya tidak boleh dinafikan dengan penyerang itu cukup penting buat KDA FC.
Ia dapat disaksikan apabila Hidalgo sudah merekodkan 10 bantuan jaringan dan gol dalam 21 penampilan Liga Super untuk membantu skuad Sang Kenari berada di tangga ketiga.
Hidalgo merupakan nadi utama jentera serangan skuad Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC
Jadi, statistik berkenaan sudah cukup untuk meletakkannya sebagai salah seorang import terbaik dalam liga, lebih-lebih lagi apabila melihat kepada usianya.
Sekiranya KDA FC terus bergelut untuk menjaga kebajikan pemain, terdapat kemungkinan Hidalgo akan mencari majikan baharu sejurusnya tamat musim 2023.
Bagaimanapun, terdapat laporan sebelum ini mengatakan penyerang bertubuh kecil berkenaan mempunyai kontrak selama dua musim bersama skuad Sang Kenari.
Tetapi, sekiranya kelab-kelab Liga Super, seperti Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) serius untuk mendapatkan khidmatnya, pelaburan berbaloi tentunya dibuat pada jendela perpindahan akan datang.
2. Amirbek Juraboev
Selepas hadir tanpa sebarang reputasi memberangsangkan, Amirbek Juraboev berjaya mengukuhkan namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam Liga Super.
Meskipun lebih diberikan peranan untuk mematahkan serangan lawan, pemain kebangsaan Tajikistan itu juga mempunyai kebolehan untuk memberi ancaman terhadap gol lawan.
Ia dapat disaksikan ketika pertemuan dengan JDT 26 Ogos lalu apabila dia hadir dengan jaringan cukup penting pada minit-minit akhir setelah berjaya menghidu peluang keemasan.
Kualiti Amirbek sememangnya tidak boleh dipandang rendah. — Facebook/KDA FC
Jadi, kebolehannya tersebut sudah tentu akan menaikkan lagi reputasinya sebagai salah seorang pemain tengah yang
cemerlang dalam kedua-dua aspek permainan.
Sekiranya KDA FC gagal mengukuhkan struktur kewangan pasukan dengan segera, terdapat kemungkinan besar Tajikistan akan cuba ditandatangani mana-mana pasukan tempatan.
Melihat kepada kelab-kelab Liga Super, Perak FC merupakan salah sebuah destinasi terbaik meskipun mereka kini dalam misi mengukuhkan lagi jentera serangan.
Selain itu, Sri Pahang FC yang juga memerlukan seorang pemain tengah lebih mantap juga sudah tentu akan tertarik untuk menguatkan pasukan pada musim akan datang.
3. Kalamullah al-Hafiz
Sebelum menyertai KDA FC, Kalamullah al-Hafiz merupakan antara penjaga gol tanah air terbaik selepas membuktikan kebolehannya bersama Petaling Jaya (PJ) City FC.
Ia turut dibuktikan ketika pemain kelahiran Kelantan itu beraksi buat pasukan kebangsaan dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon pernah menurunkannya sebanyak sekali.
Tetapi, selepas menyertai skuad Sang Kenari, reputasinya sedikit tercalar berikutan beberapa kesilapan yang berlaku dalam 21 penampilannya dalam kesemua pertandingan.
Kalamullah al-Hafiz merupakan salah seorang penjaga gol tempatan terbaik ketika ini. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, ia masih tidak menafikan bahawa Kalamullah merupakan salah seorang penjaga gawang tempatan terbaik jika hendak dibandingkan dengan pencabarnya.
Berdasarkan statistik, pemain berusia 28 tahun itu sudah merekodkan lapan 'clean sheets' dalam 17 penampilan Liga Super, sekali gus membuktikan kredibilitinya.
Jadi, kebolehan itu sudah tentu akan menarik perhatian mana-mana pasukan yang tertarik untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan masing-masing pada musim akan datang.
Sekali lagi, Perak FC dilihat cukup sesuai untuk mendapatkan khidmat Kalamullah dengan pilihan penjaga gol yang dimiliki mereka kurang memberangsangkan ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram