PENGENALAN video bantuan pengadil dalam Liga Super musim depan pasti akan membawa satu catatan baharu dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air.
Teknologi yang kini digunakan di divisyen utama seluruh dunia, termasuk di beberapa negara sekitar Asia Tenggara boleh dikatakan sebagai inisiatif dalam menaikkan mutu pengadilan.
Selain itu, penggunaannya boleh mengelakkan kesilapan sehingga mengubah nasib atau masa depan kelab seperti mana dapat disaksikan pada tahun-tahun sebelum penggunaannya.
Namun, timbul satu keraguan apabila penyokong masih berasakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum bersedia untuk menggunakannya.
Alasan yang sering diberikan adalah isu kemahiran kerana saingan musim depan bakal menyaksikan VAR digunakan buat kali pertama dalam Liga Super.
BACA LAGI: Penggunaan VAR akan dimuktamadkan tidak lama lagi — FAM
Zainal Abidin yakin penggunaan VAR amat penting dalam menaikkan mutu bola sepak negara.
Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak, Zainal Abidin Rawop, langkah awal perlu diambil meskipun tahu akan kekurangan serta kekangan bakal dihadapi.
"Saya harap semua akan faham apa fungsi VAR dalam Liga Malaysia supaya ia tidak menimbulkan lebih banyak kontroversi. Mudah-mudahan, penonton bola sepak tempatan boleh menerima sebarang keputusan.
"Kalau sebelum ini, mereka mengatakan keputusan pengadil tidak selaras dengan apa dimahukan, tetapi dengan bantuan VAR, diharapkan ia akan mengukuhkan lagi keputusan atas padang," katanya kepada Majoriti.
Baru-baru ini, MFL mengumumkan teknologi berkenaan bakal digunakan dalam kesemua aksi Liga Malaysia selepas bertahun-tahun desakan daripada orang ramai.
BACA LAGI: VAR hampir ke Likas, tapi ada harap jangan hanya jadi hiasan
Penggunaan VAR secara meluas masih sesuatu yang asing dalam negara.
Tetapi, meskipun belum diguna pakai, VAR sudah menimbulkan persoalan dengan isu pengalaman pengadil dan fasiliti di stadium dikhuatiri akan mengganggu kelancarannya.
Jadi, dalam mengatasi kekurangan itu, MFL memilih untuk menggunakan trak berserta kelengkapan VAR yang sekali gus memudahkan kerja-kerja pemindahan.
Dalam pada itu, Zainal berasakan pandangan teknologi itu diguna pakai secara terburu-buru tidak relevan kerana ia perlu untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.
"Kalau tak bermula sekarang, bila lagi? Pada saya, penggunaannya pada tahun ini amat-amat penting memandangkan pengadil kita, Nazmi (Nasaruddin) dan rakan-rakannya sudah dipilih antara calon di Piala Dunia.
"Jadi, andai kata dia sendiri tidak bersedia, bagaimana dengan rakan-rakan yang lain? Oleh itu, saya rasa ini permulaan yang cukup baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram