Penggunaan VAR akan dimuktamadkan tidak lama lagi — FAM


  • Podium
  • Khamis, 27 Okt 2022

FAM mengadakan perjumpaan bersama dua syarikat pengendali VAR iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro baru-baru ini bagi mendapatkan butiran mengenai teknologi itu. — Agensi

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap komited dalam memartabatkan mutu pengadil tempatan termasuk usaha memperkenalkan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada masa depan.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman berkata, FAM mengadakan perjumpaan bersama dua syarikat pengendali VAR iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro baru-baru ini bagi mendapatkan butiran mengenai teknologi itu yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.

Katanya, pada perjumpaan itu FAM menerusi Jawatankuasa Pengadil mendengar pembentangan kedua-dua syarikat tersebut dan mengambil maklum beberapa elemen penting berkaitan VAR termasuk kos penyelenggaraannya.

"Perkara (VAR) itu kini di peringkat nak memuktamadkan dari segi kos dan sama ada kita nak beli atau sewa. Jadi kita serahkan kepada Jawatankuasa Pengadil untuk nilai.

"FAM nampak penggunaan (VAR) memang diperlukan tetapi kita kena tengok dari segi keperluan,” katanya selepas majlis pengumuman kerjasama antara FAM dan HP Malaysia di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Khamis.

Sebagai rekod, Hawk-Eye Innovations dan Mediapro bukan lagi nama asing dalam teknologi VAR apabila kepakaran mereka digunakan dalam kancah saingan liga eropah dan kejohanan peringkat benua.

Pada Rabu, Bernama melaporkan barisan pengadil tempatan terpaksa melupakan impian menerima mandat untuk terlibat dalam pertandingan bola sepak berprestij termasuk Piala Dunia sekiranya tidak mempunyai lesen VAR.

Ia susulan syarat dan kriteria lebih ketat ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk melantik pengadil yang mempunyai pengalaman berkaitan VAR selepas teknologi itu digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa ketika ini.

Dalam laporan itu, Tenaga Pengajar Teknikal FIFA yang merupakan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan Malaysia terlepas peluang mencalonkan salah seorang pengadil lelaki terbaiknya untuk bertugas di Piala Dunia 2022 kerana tidak memiliki lesen VAR.

Mengulas mengenai pendedahan dibuat bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu, Noor Azman berkata, beliau akan cuba mendapatkan laporan serta pengesahan daripada pengerusi terkini jawatankuasa pengadil FAM Datuk S. Sivasundaram.

Pada Mac 2020 FAM melancarkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) dengan misi menjadikan pengadil tempatan sebagai penanda aras di Asia dan melihat tiga pengadil tempatan diberi mandat pada kempen Piala Dunia 2026.

Teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia ketika perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab dari Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 22 Okt lepas yang dikendalikan sepenuhnya oleh AFC.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata, penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) masih memerlukan kajian mendalam sebelum boleh diguna pakai secara meluas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bola sepak, pengadil, VAR, FAM, Noor Azman Rahman