[VIDEO] Musim berjimat Liga M, hanya 3 pasukan nikmati pramusim di negara orang


  • Podium
  • Sabtu, 20 Apr 2024

JDT menjadi kelab pertama dari Malaysia menjalani latihan pramusim di Eropah. — Facebook/JDT

TIDAK sampai sebulan jendela Liga Malaysia (Liga M) akan membuka tirainya dengan perlawanan pertama melibatkan Piala Sumbangsih antara dua gergasi bola sepak iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 10 Mei nanti.

Kurang daripada sebulan, semua pasukan Liga Super kini sedang giat menjalankan aksi pramusim bagi memperbaiki serta memperkuatkan pasukan masing-masing sebelum liga bermula.

Dengan format serta jadual baharu yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim ini, ia telah memaksa kesemua pasukan untuk berbelanja secara berhemah sekali gus menyebabkan banyak pasukan tidak melakukan aksi pramusim di luar negara.

Sehingga tarikh 20 April ini, hanya tiga pasukan yang telah dan sedang merantau ke luar negara bagi menguji serta menguatkan pasukan masing-masing bagi juara bertahan, JDT.

Majoriti senaraikan tiga kelab yang melakukan aksi pramusim di luar negara pada tahun ini:

BACA LAGI: Bukan masa sesuai ganti KJ sebagai Presiden FAM — Pekan Ramli

1. Johor Darul Ta'zim (JDT) - Sepanyol

Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi melakukan perkara biasa sebagai pasukan profesional dengan membuat persiapan yang penuh berkualiti apabila mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab di Sepanyol.

Untuk rekod, JDT telah pun memenangi dua perlawanan persahabatan menentang kelab Sepanyol iaitu Real Murcia CF (3-0) dan CF La Nucia (3-1).

Kini JDT hanya tinggal lima baki aksi pemanas badan dengan menentang UD Castellonense, CD Alcoyano, CD Eldense, Club Costa City dan CF Benidorm.

CD Eldense merupakan kelab yang beraksi di LaLiga 2 (divisyen kedua) yang akan menjadi medan ujian berkualiti tinggi buat pemain-pemain JDT.

MAIN PIX - 1

Antara aksi perlawanan pramusim Sri Pahang di Singapura. Facebook/Sri Pahang

2. Sri Pahang FC - Singapura

Sri Pahang FC mengikuti jejak langkah JDT dengan mengadakan perlawanan pramusim di luar negara namun ia tidak gah seperti skuad Harimau Selatan itu.

Ini kerana Sri Pahang hanya terbang ke seberang tambak untuk menguji dua kelab Singapura iaitu Geylang International FC dan Albirex Nigata di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad kendalian Fandi Ahmad merekodkan dua kemenangan dengan hasil jaringan 1-0 bagi kedua-dua perlawanan itu.

Malang bagi Tok Gajah apabila terpaksa bermain selama 35 minit menentang Albirex Nigata sebelum perlawanan terpaksa dihentikan akibat hujan lebat dan kilat.

Pahang telah menamatkan perjalanan pramusim mereka pada Jumaat dan sudah dalam perjalanan pulang ke Darul Makmur.

BACA LAGI: 'Ref botak is back', bakal kendalikan VAR Liga Super?

3. Selangor FC - Thailand

Selangor FC boleh dikatakan sebagai pasukan yang paling awal memulakan persiapan pramusim apabila menjadi kelab pertama terbang ke Thailand pada Mac lalu.

Skuad kendalian Nidzam Jamil itu menggunakan pusat latihan rasmi BG Pathum United sebagai venue bagi melakukan persiapan di bumi Thailand.

Selangor menjalani dua perlawanan menentang kelab Thailand iaitu Ayutthaya United dan Samut Prakan City yang beraksi di liga divisyen kedua Thailand.

Gergasi Merah mencatatkan satu kemenangan dan satu seri sepanjang di bumi Thailand apabila membelasah Samut Prakan City 6-0 dan terikat 1-1 ketika bertemu Ayutthaya United.

Selangor kini dalam persiapan untuk menghadapi Selangor Asia Challenge 2024 yang menyaksikan tiga kelab Asean menjadi jemputan kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram