FASA awal pelaksanaan sistem video bantuan pengadil (VAR) yang bakal diguna pakai dalam Liga Super musim depan akan menyaksikan sedikit kelainan.
Ini kerana kekurangan dari segi fasiliti menyaksikan teknologi itu akan dipasang dalam trak berbanding Bilik Operasi VAR (VOR) yang digunakan di liga-liga luar.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam yang mengesahkan terdapat empat buah trak disediakan perbadanan itu.
"Kita gunakan unit bergerak, jadi tiada stadium yang akan mempunyai bilik VAR. Tetapi, jika bergerak ke Sabah dan Sarawak, kita akan menggunakan flight case.
"Jadi, kita akan memiliki kelengkapan yang boleh diterbangkan ke Sabah dan Sarawak. Jadi, ia merupakan unit yang boleh dibawa ke mana sahaja," katanya.
BACA LAGI: 'Ref botak is back', bakal kendalikan VAR Liga Super?
Penggunaan VAR pasti akan menaikkan lagi mutu bola sepak tanah air. — MFL
BACA LAGI: Persiapan VAR dalam fasa akhir, FAM tubuh Akademi Pengadil Profesional
Stuart berkata demikian ketika ditemui media semasa perlawanan percubaan VAR antara Kuala Lumpur Bawah 23 Tahun (B-23) dengan sebuah kelab amatur di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Menurutnya, empat trak itu sesuai dengan jadual Liga Super 2024/25 kerana hanya tiga aksi maksimum diadakan setiap hari, sekali gus membuatkannya cukup dengan jumlah tersedia.
Dalam pada itu, Ketua Projek VAR, C Ravichandran menyatakan terdapat kemungkinan perlawanan tidak akan menggunakan teknologi tersebut sekiranya ia tidak dapat disediakan tepat pada awalnya.
"Sekiranya trak VAR tidak dipasang lima atau enam jam sebelum beraksi, pengadil akan memberitahu kapten kedua-dua pasukan bahawa permainan itu terpaksa berlangsung tanpanya," katanya.
Ravichandran menjelaskan perkara itu dalam Taklimat VAR dibuat Hotel UiTM, Shah Alam yang dibuat untuk memberi penjelasan mengenai cara operasi teknologi berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram