KIRA-KIRA dua bulan lalu, negara terpaksa menerima hakikat bahawa tiada seorang pun atlet wanita berjaya melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tiga atlet podium terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada awal Februari lalu.
Persembahan kurang memuaskan dari dua tonggak utama seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menyaksikan kali pertama dalam tempoh 24 tahun, Malaysia tidak akan mempunyai penerjun wanita beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas konsisten di temasya berkenaan sejak Sydney 2000.
Pandelela terlepas tiket ke Paris 2024 dalam acara 10 meter (m) platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 penerjun dengan mengumpul 231.15 mata, ketinggalan 204.05 mata di belakang juara dunia Chen Yuxi (435.20 mata).
Ketika bergandingan bersama Dhabitah dalam acara 10m platform seirama pula, mereka menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 16 pasangan dengan mengumpul keseluruhan 240.06 mata, secara tak langsung terlepas tawaran kelayakan empat pasukan terbaik.
Dhabitah turut gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan bagi acara 3m papan anjal individu apabila mengakhiri saingan di kedudukan 24 daripada 52 peserta dengan mengumpul keseluruhan 238.15 mata.
Nasib sama turut menimpa Wendy Ng Yan Yee apabila dia pula sekadar menamatkan saingan di tempat ke-38 dengan 216.00 mata dalam acara 3m papan anjal individu.
Gandingan Dhabitah dan Wendy juga menerima nasib sama terlepas slot apabila hanya menduduki tempat kesembilan saingan acara 3m papan anjal seirama wanita selepas mengutip 44.40 mata.
Gandingan Dhabitah-Wendy terlepas slot apabila hanya menduduki tempat kesembilan saingan acara 3m papan anjal.
Daripada terus menuding jari kepada mana-mana pihak, kegagalan berkenaan membuatkan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengambil iktibar dan hasil 'post mortem' di peringkat pengurusan tertinggi telah diputusakan untuk melaksanakan antara saranan yang terkandung dalam blueprint atau pelan tindakan persekutuan itu.
Menyedari pentingnya barisan pelapis untuk memastikan Jalur Gemilang terus berkibar di kejohanan global, Pengarah Teknikal MAS, Bryan Nickson Lomas mendedahkan kem terjun negara akan menggunakan sistem skor dalam usaha untuk mewujudkan saingan sihat antara penerjun senior dan pelapis.
Menurut Olimpian negara yang baru beberapa bulan menyandang jawatan berkenaan, sistem skor terpaksa diperkenalkan lebih awal sebagai langkah untuk menyelamatkan kem terjun yang berdepan isu ketandusan penerjun pelapis.
Jelasnya, menerusi sistem skor ini, tiada diskriminasi dalam pemilihan kerana setiap atlet sam ada di peringkat podium (senior) atau pelapis wajib mencapai angka petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan MAS bagi melayakkan diri untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
“Menerusi sistem skor yang diperkenalkan, atlet podium dan pelapis akan bertanding sesama mereka dan hanya yang terbaik akan membawa nama negara ke sesuatu pertandingan. Mereka (atlet podium dan pelapis) perlu capai Skor Kelayakan Minimum (MQS). Hanya yang capai target atau melepasi skor yang ditetapkan boleh mewakili negara.
“Kegagalan di Doha menyebabkan kami terpaksa segerakan pelaksanaan sistem skor. Sepatutnya ia dilaksanakan selepas Olimpik untuk memberi ruang kepada atlet lebih memahami dan bersedia dengan sistem berkenaan,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, katanya, sistem skor itu juga dapat mengelak atlet sama membawa saingan negara di pentas dunia, selain mewujudkan persaingan sihat antara atlet senior dengan muka-muka baharu dalam kem terjun Malaysia.
BACA LAGI: Kalau semua berhenti kerja sebab surat layang, susahlah — Hannah Yeoh
Bryan Nickson (tengah) dan Khairul Safwan (kanan) selaku Pengarah Prestasi Tinggi MAS.
Tiga pertandingan domestik yang akan menjadi sasaran dan pelaksanaan sistem berkenaan ialah Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia, Kejohanan Jemputan Kumpulan Umur Malaysia (MIAG) dan pemilihan di peringkat kebangsaan.
“Sistem ini juga bantu mengelak atlet sama mewakili negara di peringkat antarabangsa kerana semua atlet di bawah naungan kami akan mengikukti standard yang ditetapkan.
“Atlet kena harungi tiga pertandingan untuk mengumpul markah yang ditetapkan. Jika mereka melepasi sasaran selepas menyertai dua pertandingan, tentu sekali ia melengkapkan syarat untuk meneruskan perjuangan mewakili negara. Sistem pemarkahan untuk podium dianggarkan 200 markah, pelapis pula perlu dapat bawah 170 atau 160.
“Menerusi sistem skor, kita dapat perhatikan prestasi atlet pelapis dan podium yang sama-sama bersaing untuk merebut tempat bagi tersenarai mewakili negara," katanya di peringkat permulaan, skor bagi atlet podium dan pelapis adalah berbeza tetapi realistik dengan harapan suatu masa nanti atlet pelapis dapat mengejar standard atlet podium.
Jelasnya lagi, berdasarkan perancangan yang dirangka, diharap tempoh untuk menghasilkan penerjun berkualiti dapat dicapai antara empat ke enam tahun dari sekarang.
Untuk rekod, kini kumpulan pelapis terdiri daripada enam perempuan dan sembilan lelaki, di mana menerusi sistem pemarkahan berkenaan dapat meningkatkan kualiti mereka dan mengurangkan jurang antara atlet podium serta pelapis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram