Dah menyumbang beratus pingat, tapi mana syarikat korporat? — Bryan Nickson


  • Podium
  • Jumaat, 12 Apr 2024

MAS difahamkan belum pernah mendapat tajaan besar sebagai suntikan dana tambahan untuk kem terjun negara. — Instagram/Syafiq

JIKA ingin mengukur kejayaan sukan tanah air berdasarkan pungutan pingat di temasya terbesar seperti Sukan Olimpik, pasukan badminton negara dan kem terjun antara yang pernah melakar kenangan manis.

Badminton yang sejak dahulu lagi melahirkan barisan pelapis sudah menyumbang sembilan pingat apabila mengumpul enam perak dan selebihnya meraih tiga gangsa sejak menyertai kejohanan berprestij itu pada 1956.

Manakala, kem terjun negara pula mula mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila Datuk Pandelela Rinong menjadi atlet wanita pertama menyumbang pingat di Sukan Olimpik apabila meraih gangsa dalam acara 10m platform individu di edisi London 2016.

Empat tahun lepas itu di edisi Rio de Janeiro, Pandelela memenangi pingat perak dalam platform serentak 10m bergandingan dengan Cheong Jun Hoong yang menjadikan mereka pasukan wanita Malaysia pertama yang merangkul pingat perak di kejohanan dunia itu.

Walaupun sudah mengumpul 145 pingat dari empat kejohanan penting iaitu 101 pingat Sukan SEA; Sukan Komanwel (17), Sukan Asia (25) dan selebihnya di Sukan Olimpik, namun acara terjun masih dianggap sebagai sukan picisan.

Bayangkan sehingga kini Persekutuan Renang Malaysia (MAS) belum pernah mendapat penaja utama daripada syarikat korporat walaupun sudah melahirkan atlet berstatus Olimpian, sekali gus menyaksikan berkumandangnya lagu Negaraku serta berkibarnya Jalur Gemilang di temasya gah itu.

BACA LAGI: Ketandusan pelapis terjun makin kronik, kontinjen negeri tolak kaedah 'pinjam' atlet punca acara Sukma digugur

WhatsApp Image 2024-04-11 at 22.30.57-2

Pandelela ketika menyumbang pingat di Sukan Olimpik apabila meraih gangsa dalam acara 10m platform individu di edisi London 2016. — Agensi

Menurut Pengarah Teknikal MAS, Bryan Nickson Lomas, sejak zaman beliau bergelar atlet profesional, pihak persekutuan belum pernah mendapat tajaan besar sebagai suntikan dana tambahan.

"Persatuan tak boleh berdiri sendiri untuk dapatkan dana. Sebab itu perlukan bantuan syarikat swasta atau korporat tapi tak tahu kenapa sampai sekarang tiada yang berminat, sama ada sebab persatuan atau sukan ini (terjun) tak popular.

"Kami ada cadangan nak dapatkan tajaan sebab diving sumbang banyak pingat tapi sampai sekarang tiada penaja. Sehingga kini hanya ada penaja kecil-kecil dan bukan penaja utama.

"Kalau badminton kan ada tajaan yang kita tahu memang dalam kalangan syarikat besar," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, tajaan tambahan dari syarikat korporat sedikit sebanyak dapat membantu menambah baik persiapan di peringkat akar umbi dan program podium susulan di mana sehingga kini hanya mendapat dana daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Situasi sebegini jadi di semua sukan. Selalunya pihak korporat nak tahu pulangan pelaburan (ROI) mereka, manakala persatuan pula tak boleh berdiri sendiri untuk menggunakan dana mereka semata-mata," tambahnya.

BACA LAGI: Sistem skor terpaksa disegerakan, langkah drastik atasi isu ketandusan pelapis terjun negara

WhatsApp Image 2024-04-11 at 22.31.42

Bryan Nickson dilantik sebagai Pengarah Teknikal MAS pada September 2023.

Lebih menyedihkan apabila dana yang disalurkan akan memberi keutamaan kepada atlet yang berpotensi menyumbang pingat dan pernah mempunyai rekod pencapaian positif seperti Pandelela.

"Kita terlalu fokus Lela (Pandelela) dan dah sampai umur 31 tahun baru sedar tiada siapa nak ganti. Misalnya, dana diberi sebanyak RM1 juta dan kira-kira RM300,000 untuk atlet lain, manakala selebihnya untuk Lela. Sepatutnya dana perlu seiring antara program podium dan pelapis," katanya.

Sekiranya jalinan kerjasama dengan syarikat korporat berhasil diperoleh MAS, skuad terjun negara tidak perlu bersusah payah terbang ke China bagi menjalani latihan sebelum menempuh kejohanan besar.

China ibarat kampung halaman kedua kem terjun negara apabila sering menjadi destinasi utama untuk menghantar penerjun berlatih di luar negara berikutan kekurangan kemudahan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

Antara kelengkapan baharu yang sudah digunakan oleh majoriti kontinjen negara lain ialah papan anjal moden baharu, difahamkan MAS juga sudah usulkan cadangan berkenaan kepada MSN.

BACA LAGI: Pelan tindakan 8 tahun MAS sasar kembalikan maruah kem terjun negara

WhatsApp Image 2024-04-11 at 22.31.25

Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

"Dekat dunia ada spring board model baru. Singapura dah ada papan anjal berkenaan. Kami sebelum ini dah minta papan anjal itu dan MSN pun keluarkan bajet untuk alat berkenaan. Tapi untuk negeri mungkin agak susah sikit nak keluarkan duit beli alat itu.

"Sekarang pelan nak bina diving pool untuk latihan tapi masih dalam proses tender. Pusat latihan itu katanya nak buat gym dan diving pool jadi tak perlu ke China, jadi lebih lengkap.

"Dulu selalu ke Cheras tapi sekarang dah tutup. Harap kerajaan boleh cepatkan untuk kelengkapan dan pembinaan pusat latihan baru, jadi tak buang duit ke China," kongsinya yang masih menunggu kelengkapan baharu akan tiba di Bukit Jalil.

Sejak beberapa tahun, atlet terjun menghabiskan tempoh latihan yang panjang di China berikutan kemudahan sudah lapuk di Malaysia yang juga legasi Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001, Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) dan Sukan Para Asean 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram