Pelan tindakan 8 tahun MAS sasar kembalikan maruah kem terjun negara


  • Podium
  • Khamis, 11 Apr 2024

Sekiranya MAS mengikut pelan tindakan jangka masa panjang, pelapis berkualiti akan dibentuk dalam menjamin masa depan kem terjun negara. — Instagram/Dhabitah

DENGAN atlet podium seperti Datuk Pandalela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang dan Muhammad Syafiq Puteh semakin dimamah usia, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) perlu segera mencari barisan pelapis bagi menyelamatkan sukan terjun tanah air.

Kebelakangan ini, isu ketandusan atlet pelapis kem terjun sering menjadi topik yang hangat diperkatakan pengkritik sukan rentetan tiadanya muka baharu membawa saingan negara ke pentas pertandingan antarabangsa dan terkini kegagalan ke Sukan Olimpik Paris.

Malah, kebimbangan sama turut disuarakan Pandelela, 31, yang berpendapat penerjun senior sepertinya boleh bersara, jika ada atlet pelapis memberi saingan atau boleh mengatasi pencapaian mereka.

Bagi menyelamatkan dan melonjakkan kembali kem terjun sebagai lubuk pingat sukan tanah air, MAS merangka pelan tindakan jangka masa panjang atau blueprint untuk tempoh lapan tahun berakhir 2032.

Sepanjang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia kem terjun tanah air mengumpul 145 pingat dari empat kejohanan penting iaitu 101 pingat Sukan SEA; Sukan Komanwel (17), Sukan Asia (25) dan selebihnya di Sukan Olimpik.

BACA LAGI: Ketandusan pelapis terjun makin kronik, kontinjen negeri tolak kaedah 'pinjam' atlet punca acara Sukma digugur

WhatsApp Image 2024-04-09 at 15.29.26

Pandelela-Jun Hoong memenangi pingat perak dalam platform serentak 10m di Olimpik Rio de Janeiro. — Agensi

Pandelela menjadi atlet wanita pertama menyumbang pingat di Sukan Olimpik apabila meraih gangsa dalam acara 10m platform individu di edisi London 2016.

Empat tahun lepas itu di edisi Rio de Janeiro, Pandelela memenangi pingat perak dalam platform serentak 10m bergandingan dengan Cheong Jun Hoong yang menjadikan mereka pasukan wanita Malaysia pertama yang merangkul pingat perak di kejohanan dunia itu.

Berbekalkan pengalaman luasnya dalam sukan terjun, Bryan Nickson Lomas selaku pengarah teknikal MAS dan Khairul Safwan Mansur merangkap pengarah prestasi tinggi telah merangka pelan tindakan yang bermatlamat untuk memastikan hal tuju MAS tidak tersasar.

Menurut Bryan, antara intipati utama pelan tindakan berkenaan adalah menambah bilangan jurulatih serta menaik taraf jurulatih tempatan, penambahbaikan program termasuk kem motivasi dan pelaksanaan aspek sains sukan daripada segi pemakanan, fisioterapi dan psikologi.

"Blueprint berkenaan telah mendapat kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BACA LAGI: Sistem skor terpaksa disegerakan, langkah drastik atasi isu ketandusan pelapis terjun negara

WhatsApp Image 2024-04-09 at 15.13.14

Bryan Nickson dan pasukannya sudah merangka pelan tindakan yang bermatlamat untuk memastikan hal tuju MAS tidak tersasar.

Bryan yang juga bekas penerjun profesional tanah air memberitahu, usaha untuk memperkemaskan lagi strategi bagi melahirkan pelapis terjun negara penting untuk menjamin kewujudan pasukan penerjun negara di pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa.

"Tahun lalu, kem terjun hanya mempunyai tiga jurulatih untuk menguruskan 13 atlet podium, manakala, kumpulan pelapis pula terdiri daripada 11 orang dengan hanya satu jurulatih diperuntukkan oleh MSN," katanya sambil menambah jumlah itu kini meningkat kepada 15 pelapis serta tiga jurulatih.

Angka terbaharu barisan pelapis yang terdiri daripada enam atlet perempuan dan sembilan lelaki itu seharusnya dapat dibentuk untuk menggalas tugas penting mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 jika strategi yang digariskan menerusi pelan tindakan itu dilaksanakan tanpa culas.

"Isu pelapis boleh selesai antara empat hingga enam tahun jika ikut acuan yang betul. Untuk capai kembali pingat di Olimpik sebagai sasaran blueprint berkenaan, asasnya perlu kukuh. Jika tidak blueprint itu sia-sia sahaja," tambahnya.

Baru-baru ini, Bryan mendedahkan mengenai pelaksanaan sistem skor yang dipercepatkan sebagai saingan antara atlet senior dan pelapis sebelum terpilih mewakili negara.

BACA LAGI: Kalau semua berhenti kerja sebab surat layang, susahlah — Hannah Yeoh

WhatsApp Image 2024-04-09 at 15.12.12

Muka hadapan pelan perancangan strategik sukan terjun MAS.

Sistem skor ini turut terkandung dalam pelan tindakan itu di mana ia terpaksa dilaksanakan lebih awal apabila tiga atlet podium utama gagal melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada awal Februari lalu.

Pandelela terlepas tiket ke Paris 2024 dalam acara 10 meter (m) platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 penerjun dengan mengumpul 231.15 mata, ketinggalan 204.05 mata di belakang juara dunia Chen Yuxi (435.20 mata).

Ketika bergandingan bersama Dhabitah dalam acara 10m platform seirama pula, mereka menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 16 pasangan dengan mengumpul keseluruhan 240.06 mata, secara tak langsung terlepas tawaran kelayakan empat pasukan terbaik.

Dhabitah turut gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan bagi acara 3m papan anjal individu apabila mengakhiri saingan di kedudukan 24 daripada 52 peserta dengan mengumpul keseluruhan 238.15 mata.

Nasib sama turut menimpa Wendy Ng Yan Yee apabila dia pula sekadar menamatkan saingan di tempat ke-38 dengan 216.00 mata dalam acara 3m papan anjal individu itu.

Gandingan Dhabitah dan Wendy juga menerima nasib sama terlepas slot apabila hanya menduduki tempat kesembilan saingan acara 3m papan anjal seirama wanita selepas mengutip 44.40 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram