SEPERTI yang diketahui, kelab Liga Super kerap membawa masuk beberapa wajah baharu bagi memperkuatkan pasukan masing-masing dalam menghadapi kejohanan domestik.
Menariknya, wajah-wajah baharu yang kerap dibawa masuk bukan sahaja dalam kalangan pemain tempatan malah import turut diberi peluang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).
Pastinya amat sukar bagi seseorang individu yang bukan warga tempatan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaraan di tempat baharu lebih-lebih lagi melibatkan makanan, budaya dan bahasa.
Meskipun begitu, ia tidak menjadi penghalang bagi sesetengah import untuk mempelajari perbezaan tersebut.
Sebut sahaja nama Ismaheel Akinade, pastinya ramai peminat domestik mengenali sosok pemain tersebut.
Pemain import Terengganu FC (TFC) itu sempat mencuri tumpuan peminat domestik apabila terjebak dalam trend yang tular menjelang sambutan Hari Raya baru-baru ini.
Trend tular yang menjadi ikutan semua pihak adalah gerak badan menggunakan Alamak Raya Lagi yang didendangkan oleh kumpulan De Fam itu.
Dalam video yang tular di Facebook, penyerang baharu Sang Penyu itu melakukan gerak badan sambil menari mengikut rentak.
Bagaimanapun, bukan sahaja Ismaheel namun terdapat tiga lagi pemain import yang dilihat mempelajari budaya tanah air.
BACA LAGI: Jangan harap Selangor saja, 3 lagi team mampu calar ego JDT
Issey yang merindui makanan tempatan iaitu nasi dagang. — Facebook/IsseyNakajima-Farran
1. Issey Nakajima (Makan nasi dagang)
Issey Nakajima-Farran pernah bermain dengan TFC untuk beberapa musim apabila menyertai kelab itu pada April 2015 sebelum meninggalkan Sang Penyu pada November 2017.
Meskipun hanya menabur bakti selama dua musim bersama Sang Penyu namun pemain kacukan Jepun-Kanada itu dilihat cepat menyesuaikan diri di bumi Terengganu.
Seperti yang diketahui, pemain berusia 39 tahun itu gemar dengan makanan tempatan iaitu nasi dagang.
Menerusi satu video yang pernah mencuri tumpuan peminat, Issey dilihat tidak boleh melupakan hidangan nasi dagang tersebut dan menikmatinya dengan penuh berselera.
Gallifuoco (dua kanan) bersama rakan sepasukan The City Boys meluangkan masa di kedai mamak. — Agensi
2. Giancarlo Gallifuoco (Lepak mamak)
Tidak seperti pemain lain, tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC merupakan antara pemain import yang dilihat pandai membawa diri.
Pemain kelahiran Australia itu dianggap pandai menyesuaikan diri selepas salah satu gambar yang dimuatnaik tular di media sosial.
Dalam gambar tersebut menunjukkan Gallifuoco bersama rakan sepasukan The City Boys itu sedang duduk beramai-ramai di restoran mamak.
Situasi seperti itu dilihat 'biasa' dalam kalangan peminat apabila ia hanya bertujuan untuk merapatkan hubungan baik sesama mereka.
Nwakaeme turut mempelajari Bahasa Melayu ketika beraksi bersama Sri Pahang. — Agensi
3. Dickson Nwakaeme (Pelajari bahasa)
Bahasa Melayu tergolong dalam kumpulan bahasa yang paling mudah untuk dipelajari.
Sebelum mengumumkan persaraan daripada sukan bola sepak profesional, bekas import Sri Pahang Dickson Nwakaeme meninggalkan kenangan indah di bumi Malaysia.
Ketika lagu Negaraku berkumandang, pemain kelahiran Nigeria itu turut tidak melepaskan peluang untuk menyanyikan lagu rasmi Malaysia berkenaan dalam satu video di YouTube.
Digelar sebagai 'Orang Besi' Tok Gajah, Dickson pernah bertutur dalam Bahasa Melayu dengan mengatakan Pahang adalah kampungnya apabila menyarung kembali jersi kelab tersebut musim 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram