Cristiano Ronaldo pecah rekod legenda Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 13 Dis 2022

Ronaldo kini mempunyai 196 caps antarabangsa.

BILANGAN penambilan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Aun iaitu sebanyak 195 caps antarabangsa berjaya dipintas oleh bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia 2022 pada Sabtu menentang Maghribi di Qatar, Ronaldo yang berusia 37 tahun itu tampil semasa separuh masa kedua untuk bermain perlawanan ke-196 untuk Portugal.

Bagaimanapun rekod baharu Ronaldo itu bertukar menjadi insiden menyayat hati buat bekas pemain sayap Manchester United itu apabila negaranya tewas kepada Atlas Lions 0-1 di Stadium Al Thumama di Doha.

Ronaldo juga mengesahkan bahawa ia adalah perlawanan terakhirnya di Piala Dunia selepas bermain dalam lima edisi sejak 2006.

Ronaldo kini telah menyamai rekod antarabangsa sepanjang masa iaitu 196 caps, yang dipegang oleh Bader Al-Mutwas dari Kuwait.

Chin Aun, 72 tahun, yang digelar Towkay dalam kalangan rakannya itu merupakan pemain dalam senarai FIFA Century CLub bersama Zainal Abidin Hassan, Datuk Shukor Salleh, Datuk Santokh Singh, dan Allahyarham Datuk M. Chandran, Mokhtar Dahari dan, R. Arumugam.

FIFA Century Club merupakan satu senarai pemain yang telah bermain 100 perlawanan antarabangsa dan ke atas dan Chin Aun mewakili Malaysia dari 1969-1984.

Shukor mempunyai caps antarabangsa kedua tertinggi selepas Chin Aun dengan 163.

Mokhtar mempunyai 138 caps, manakala Arumugam mempunyai 131. Zainal, Chandran dan Santokh masing-masing mengumpul 116, 115 dan 100 caps.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Aun direkodkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak 252 caps, namun hanya 195 daripadanya dikira sebagai perlawanan kategori A. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram