KEHADIRAN kapten merangkap penyerang berbisa, Cristiano Ronaldo tidak dapat membantu Portugal mengelak daripada mengalami kekalahan mengejut kepada Slovenia.
Dalam aksi persahabatan di Stadium Stozice, Slovenia pada Selasa, tuan rumah meraih kemenangan bermakna hasil gol daripada Adam Cerin dan Timi Elsnik pada babak kedua.
Keputusan positif berkenaan sememangnya diraikan penyokong yang berasakan kejayaan menundukkan pasukan di tangga ketujuh dunia terbabit.
Namun, bagi penyokong Portugal pula, mereka berasakan mutu pengadilan menyebabkan mereka tewas dalam perlawanan persahabatan itu.
Perasaan berkenaan turut dikongsikan Cristiano yang melepaskan kemarahannya terhadap pegawai selepas aksi di hadapan ribuan penyokong itu tamat.
Berdasarkan video yang kini tular di media sosial, pemain berusia 39 tahun terbabit didapati melontarkan kata-kata kesat terhadap petugas perlawanan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jose Mourinho jadi saksi pelumba MotoGP siuu lepas memang 'race' di Portugal
Menurutnya, Portugal sepatutnya diberikan dua sepakan penalti dalam aksi berkenaan, namun pengadil gagal mengesan kekasaran dibuat pemain lawan.
Jadi, tidak hairanlah apabila tonggak Al-Nassr itu kelihatan sungguh kecewa memandangkan kekalahan itu menamatkan rentetan 11 kemenangan berturut-turut direkodkan negara Eropah berkenaan.
Ini bukanlah kali pertama legenda Real Madrid berkenaan terpalit dengan kontroversi selepas dia dikenakan denda oleh Persatuan Bola Sepak Arab Saudi gara-gara isyarat lucah beberapa minggu lalu.
Keputusan mengecewakan tersebut pasti akan menjadi pengajaran buat pengendali pasukan, Roberto Martinez yang perlu membuat perubahan menjelang aksi persahabatan menentang Finland, Croatia dan Republik Ireland pada Jun.
Selepas itu, mereka bakal berentap dalam Kejohanan Euro dengan Republik Czech, Turkiye dan Georgia akan menjadi lawan Portugal di peringkat kumpulan.
Cristiano Ronaldo dijangka akan memainkan peranan penting sepanjang kempen berkenaan dengan ancamannya di hadapan pintu gol cukup didambakan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram