[VIDEO] Rumah Timbalan Menteri Sarawak musnah dijilat api, kesemua 7 mangsa sempat selamatkan diri


  • 112
  • Isnin, 15 Apr 2024

Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarela Bario serta penduduk kampung membantu memadam api. — Facebook/JBPM

KEDIAMAN Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala di Kampung Pa'Umor, Bario, Sarawak musnah dalam kebakaran pada Ahad.

Dalam kejadian tersebut, Datuk Gerawat bersama-sama enam orang lagi sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian berkata, kejadian dilaporkan pada pukul 1.40 tengah hari dan pihaknya segera mengarahkan Pasukan Bomba Sukarela Bario ke lokasi disebabkan jarak BBP Marudi ke lokasi kejadian sejauh 460 kilometer atau memakan masa 20 jam laluan darat dan menggunakan jalan balak (bergantung kepada cuaca).

BACA LAGI: Utamakan keselamatan awam, KP Selangor tampil perjelas polis tidak 'engage' suspek tembak di KLIA

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera Israel kena turap landasan rosak lepas kena serang lebih 300 dron, peluru berpandu Iran

“Penduduk kampung, pihak polis dan Pasukan Bomba Sukarela telah berusaha untuk mengawal dan memadam kebakaran namun rumah tersebut terbakar sepenuhnya dan tiada yang dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun, kesemua penghuni selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pasukan BBP Marudi bergerak ke lokasi kejadian menggunakan helikopter bomba untuk melakukan pengesahan dan siasatan.

Sementara itu, katanya enam orang anggota dari Persatuan Bomba Sukarela Bario memadam sisa-sisa api yang masih terbakar sehingga padam sepenuhnya, dengan dibantu 20 orang anggota Tentera Darat Malaysia menggunakan dua aliran 700 kaki (213.36 meter) air daripada pili bomba terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram