Utamakan keselamatan awam, KP Selangor tampil perjelas polis tidak 'engage' suspek tembak di KLIA


  • 112
  • Isnin, 15 Apr 2024

Kejadian tembakan di KLIA 1 itu berlaku pada awal pagi Ahad membabitkan seorang suspek lelaki yang dipercayai melarikan diri ke Utara tanah air.

SEORANG lelaki melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) Sepang, Selangor pada Ahad.

Mangsa yang dipercayai seorang pengawal peribadi itu parah akibat terkena tembakan berkenaan.

Susulan insiden itu, ramai yang mempersoalkan mengapa polis tidak segera menangkap suspek semasa kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan polis tidak mengambil tindakan drastik untuk menangkap suspek tembak ketika kejadian awal pagi pada Ahad kerana keutamaan ketika itu ialah keselamatan orang awam.

Beliau berkata, kaedah 'engage' atau mendekati suspek tidak digunakan ketika kejadian memandangkan kawasan lapangan terbang ialah tumpuan awam.

"Lebih baik kita keluarkan suspek dari kawasan itu dan selamatkan orang awam. Itu kaedah terbaik dari 'engage' dengan suspek yang bersenjata api," katanya kepada media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah KLIA pada Isnin.

Tambahnya lagi, pihaknya percaya tindakan dan respons polis serta pihak keselamatan lapangan terbang adalah cepat dan terbaik.

"Kalau kita 'engage' dengan suspek keadaan akan lebih buruk. Dia akan lepas tembakan dan di situ adalah kawasan awam yang ramai orang, kanak-kanak pun ada," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya terkejut, tak sangka berlaku ketika Syawal', isteri dedah mangsa tembakan di KLIA kini kritikal

KLIA 1.

Hafizul Harawi, 38, (gambar kecil) memiliki dua rekod jenayah lampau selain dalam proses penceraian dengan isterinya gara-gara hubungan bermasalah sejak 2016.

BACA LAGI: Insiden tembak KLIA: Peguam nasihat jangan keluarkan kenyataan — Farah Cie

Ditanya keadaan terkini mangsa tembak, Hussein berkata, mangsa kini stabil dan masih menerima beberapa siri rawatan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek cedera akibat terkena tembakan dan kini dirawat di sebuah hospital.

Terdahulu Hussein menyaksikan acara serah terima tugas antara bekas Ketua Polis Daerah KLIA, Senior Asisten Imran Abd Rahman dan Asisten Komisioner Azman Shari'at.

Azman, yang sebelum ini merupakan Ketua Urusetia Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah KLIA.

Imran pula menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP) (Operasi Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram