KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman FC, telah mengesahkan kehadiran pemain pertahanan terbaharu mereka iaitu Cleylton untuk musim 2024/2025.
Pemain pertahanan Brazil berusia 31 tahun itu tiba sebagai pengganti buat Bojan Ciger yang meninggalkan kelab tersebut selepas semusim bersama Kedah.
Diumumkan pada Ahad, Cleylton kemudiannya telah selamat tiba di bumi Malaysia pada Isnin dengan pemain itu mendarat dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas.
BACA LAGI: Berjaya tepis keraguan diri, Din Masjid bangga raih gelaran naib juara BAC bersama Sze Fei
Sebaik saja tiba di bumi Malaysia, kelibat Cleylton terus menjadi perhatian apabila dia buat pertama kali datang sebagai pemain Kedah.
Apa yang menariknya adalah, ramai penyokong Kedah yang terpegun dengan ketinggian yang dimiliki oleh pemain tersebut. Sebagai rekod, Cleylton merupakan pemain pertahanan berketinggian 1.9 meter.
Rata-rata penyokong terpegun melihat ketinggian pemain import baharu Kedah itu terutamanya apabila Cleylton bergambar dengan Ketua Pegawai Eksekutif interim Kedah, Shahrul Samsudin dan Penyeleras Pasukan, Fauzi Saari.
"Panjang macam galah aih, jenuh nak mendongak ke atas," kata penyokong bernama Caulitt Rizaw.
"Tinggi macam pokok kayu ubi tu," ujar Rosli Jaafar.
"Renjong (tinggi) molek ni. Bola tinggi harus (jadi) makanan dia," komen Michelle Sephia.
BACA LAGI: 'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata
Cleylton (tengah) bergambar dengan Shahrul (kiri) dan Fauzi (kanan) sebaik tiba di Malaysia. — Kedah Darul Aman FC
Satu perkara yang turut menjadi perhatian dalam kalangan penyokong Kedah adalah berkenaan wajah pemain pertahanan mereka itu.
Di mata mereka, Cleylton mempunyai iras dengan pelbagai pemain bola sepak antarabangsa. Malah, ada yang mengatakan wajahnya ibarat penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah!
"Sekali tengok macam Raphael Varane saja," kata penyokong bernama Firdaus Shahidan.
"Muka dia ada iras Marcus Rashford, adalah sikit sikit. Tapi tu dia tinggi mendongak 1.9 meter. Tengok dalam video ganas, kahak ketagaq juga dia ni," ujar Adam Harris.
"Sekali aku tengok macam Taufik Batisah penyanyi Singapura tu," komen Firdaus Saadudin.
Walaupun dianggap mempunyai iras dengan pelbagai nama-nama terkenal, namun prestasi di atas padang adalah yang paling penting buat penyokong.
Diharapkan Cleylton dapat memberikan persembahan terbaik supaya penyokong Kedah dapat melupakan Ciger yang tidak lagi bersama mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram