JDT sudah tiba di Sepanyol, potensi jumpa Barca-Real Madrid antara 3 highlight pramusim menarik Harimau Selatan


  • Podium
  • Isnin, 15 Apr 2024

Tunku Ismail (kanan) sempat memberi titipan pesanan kepada barisan pemain dan kejurulatihan yang sertai jelajah pramusim ke Sepanyol. — Facebook/JDT

SAMBUTAN Hari Raya belum berakhir tapi Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah berangkat ke Sepanyol bagi memulakan kempen pramusim mereka di negara Eropah itu sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).

Sebelum ini, Harimau Selatan sudah 'memanaskan enjin' mereka dengan menentang beberapa kelab Asia Tenggara seperti pasukan divisyen satu Thailand, Police Tero, Chonburi FC dan jaguh Liga Singapura, Lion City Sailors FC.

Jelajah pramusim di negara yang melahirkan banyak bintang bola sepak dunia itu akan menjadi platform buat skuad kendalian Hector Bidoglio mencari keserasian dan mencipta taktikal sesuai untuk digunakan setiap pertandingan disertai JDT.

Memilih Melia Villaitana Football Centre di perbandaran Benidorm di Alicante, Sepanyol sebagai pangkalan sementara, Harimau Selatan difahamkan akan menghadapi tujuh aksi persahabatan dalam tempoh dua minggu tersebut.

Kempen pramusim di negara Eropah ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong JDT dan penyokong domestik kerana dikhabarkan juara bertahan Liga Super berkenaan akan menentang kelab-kelab terkemuka rantau tersebut.

Selaras dengan jelajah pramusim di Sepanyol yang sudah bermula pada Ahad hingga 30 April depan ini, Majoriti menyenaraikan tiga perkara menarik bakal dihidangkan kepada peminat bola sepak tanah air;

1) Kebarangkalian aksi pramusim lawan kelab La Liga

real

Ramai penyokong berharap agar JDT menentang Real Madrid sebagai aksi persahabatan. — Agensi

Dengan JDT memilih Sepanyol sebagai lokasi jelajah pramusim mereka, penyokong mula menyimpan hasrat untuk menyaksikan juara Piala Malaysia 2023 itu mengadakan aksi persahabatan menentang kelab La Liga seperti Real Madrid dan Barcelona.

Spekulasi kemungkinan menentang Real Madrid bermula apabila pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim kelihatan berpakaian hitam dengan logo Real Madrid di belakangnya, yang ditafsir merujuk kepada jelajah pramusim mereka.

Walaupun mustahil untuk melihat dua pasukan gergasi La Liga itu untuk menjadi teman sparring JDT pada jelajah pramusim ini namun pasukan seperti Valencia CF mungkin berada dalam senarai aksi persahabatan mereka.

Perlawanan menentang Valencia boleh dilaksanakan kerana hubungan baik yang terjalin antara Tunku Ismail Idris atau lebih sinonim dengan panggilan TMJ dengan pemilik pasukan berkenaan iaitu usahawan terkenal Singapura, Peter Lim.

2) Aksi lima graduan akademi

WhatsApp Image 2024-04-14 at 20.33.11

Gabriel antara pemain muda dipilih untuk menyertai jelajah pramusim di Sepanyol. — Facebook/JDT

Bukan hanya skuad utama, Harimau Selatan juga tidak melepaskan peluang memilih lima pemain muda dari JDT II, JDT III dan prospek Piala Belia juga dipanggil mengikuti jelajah pramusim di Sepanyol.

Pemain yang dipilih ialah Pavithran Gunalan, Ridzwan Rosli (JDT IV); Zulhilmi Sharani dari JDT III dan dua pemain dari skuad Piala MFL iaitu Hafiz Azizi Zamri dan Gabriel Nistelrooy.

Dalam kalangan lima pemain muda itu, ramai penyokong ingin menyaksikan Gabriel dibentuk menjadi penyerang lokal yang prolifik bagi menggisi posisi serangan JDT dan menggantikan khidmat Syafiq Ahmad.

Pemilihan lima pemain akademi JDT itu membuktikan bahawa mereka adalah kelompok pelapis yang sudah bersedia untuk menggantikan tonggak senior dan berpotensi untuk beraksi bersama pasukan utama pada musim depan.

3) Pengalaman menikmati fasiliti kelab Eropah dan bermain bintang dunia

jdt 2

Melia Villaitana Football Centre. — Agensi

Selain bertujun untuk mencari ramuan taktikal terbaik sebelum liga bermula, jelajah di Sepanyol ini akan memberi pengalaman berbeza buat para pemain dengan merasai sendiri kelebihan menggunakan fasiliti kelab Eropah.

JDT difahamkan dapat menggunakan segala fasiliti di sana secara percuma dan pastinya ia adalah rundingan bijak yang dilakukan oleh Tunku Ismail dengan pihak Melia Villaitana Football Centre bagi mengelak kewangaan JDT daripada terjejas.

Bukan itu sahaja, pengalaman menentang pemain bertaraf bintang bola sepak dunia juga akan direalisasikan sekiranya JDT bakal beradu kekuatan menentang kelab-kelab ternama Eropah.

Walau apapun keputusan menentang kelab terpilih itu, ia pastinya akan menjadi pengajaran berguna buat dalam memberi ruang buat Harimau Selatan mengesan lebih awal kelemahan dan kekuatan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram