PENANTIAN berbulan-bulan Perak FC demi menunggu kehadiran penyerang import, Wilmar Jordan nampaknya akan berakhir tidak lama lagi apabila pemain berkenaan sudah memberi bayangan bakal meninggalkan kelabnya, Punjab FC.
Khabar angin Jordan ke Perak FC sudah menjadi bualan penyokong sejak beberapa bulan lalu namun sehingga kini, masih belum ada pengesahan rasmi dari The Bos Gaurus (TBG) mengenai kehadiran penyerang kelahiran Colombia berkenaan.
Namun, perkongsian terbaharu penyerang bertubuh sasa itu di laman Insta Story yang seakan-akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan semasanya seperti memberi harapan kepada penyokong untuk setia menunggu ketibaannya.
Jordan dilihat memuat naik gambar bersama dua rakan sepasukannya di Punjab FC sambil menulis kapsyen 'a selfie to remember' (swafoto yang akan sentiasa diingati) yang ditafsir seperti ucapan selamat tinggal kepada pasukan divisyen satu India tersebut.
Biasanya, apabila pemain dari pasukan lain sudah bertindak sedemikian, ia akan memberi petanda bahawa dia akan menyertai kelab baharu dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Belum sampai Perak lagi, tapi import Seladang siap-siap 'follow' 2 tulang belakang TBG
Tangkap layar perkongsian Insta Story Jordan.
BACA LAGI: Pernah dedah mahu buru 'striker' tajam, import Colombia bakal gegarkan Perak FC
Sambil menunggu pengumuman dilakukan oleh Perak sebagai pengesahan kehadiran Jordan ke Malaysia, sebahagian penyokong skuad Seladang melontarkan harapan mereka agar penyerang berusia 33 tahun itu tidak mengulang prestasi buruk bekas penyerang import, Christian Obiozor.
Kehadiran Obiozor di kem Perak pada musim lepas memberi kesan trauma kepada penyokong apabila penyerang terbabit lebih kerap mengecewakan berbanding melakukan sumbangan di hadapan pintu gol lawan.
Obiozor tiba ke Perak pada jendela perpindahan musim 2023 namun kontraknya ditamatkan enam bulan selepas itu susulan hanya mencetak satu gol dan satu hantaran bantuan dalam 10 perlawanan domestik dia diturunkan.
Kekecewaan terhadap Obiozor itu memberi pengajaran kepada penyokong agar tidak terlalu menaruh harapan tinggi kepada pemain import baharu yang tiba.
Sebagai rekod, Jordan telah melakukan 15 penampilan untuk Punjab dalam saingan Indian Super League dengan pemain berketinggian 1.79 berkenaan telah menghasilkan lapan gol serta satu bantuan jaringan.
Melihat kepada rekod itu, boleh dikatakan Jordan mempunyai ketajaman yang baik untuk mencari jaringan dan dia mampu untuk memimpin barisan serangan Perak musim ini. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram