‘Saja bagitahu kot lupa’, Ahmad Beto hint alami masalah gaji 7 bulan masa main dengan TRW dan Bujang Senang


  • Podium
  • Ahad, 14 Apr 2024

Beto kini mempunyai misi baharu selepas sah menyertai skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC

ISU tunggakan gaji bukanlah perkara yang baharu dalam arena bola sepak tempatan kerana hampir kesemua pasukan pernah mengalami masalah tersebut.

Musim lalu, kelab Pantai Timur, Kelantan FC merupakan pasukan paling terkesan sehingga menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyekat penyertaan mereka daripada Liga Super.

Hukuman sedemikian bukanlah yang pertama dikenakan apabila pada 2022, Melaka United dan Sarawak United turut dihalang akibat masalah dalaman kritikal.

Situasi sebegitu pasti akan memberi kesan buruk terhadap pihak yang terkesan dengan masing-masing hilang punca pendapatan di samping perlu mencari majikan baharu.

BACA LAGI: Tunggakan gaji bayangi sambutan Aidilfitri bekas penjaga gawang Kijang Merah

beto-Ahmad-Khairil-Anuar-Ahmad-Zamri

Beto beraksi selama semusim bersama skuad Ngap Sayot. Facebook/Sarawak United FC

Jadi, dalam usaha memastikan nasib masing-masing terbela, rata-rata pemain dan kakitangan kelab difahamkan terus mendesak pihak pengurusan bagi mendapatkan jalan penyelesaian.

Antara yang pastinya sibuk berbuat demikian ialah pemain Penang FC, Ahmad Khairil Anuar atau lebih dikenali sebagai Beto kerana dia mengalami isu terbabit ketika di Sarawak United dan Kelantan FC.

Meskipun sudah beberapa bulan tidak beraksi akibat kecederaan, tuntutan demikian masih dibuat memandangkan dia berhak dibayar pihak pengurusan kedua-dua kelab itu.

Bagaimanapun, dia seperti sudah menemui jalan buntu kerana masalah demikian apabila memilih untuk meluahkan kekecewaan di laman X peribadinya baru-baru ini.

"Sarawak United FC 9, 10, 11. Kelantan FC 9, 10, 11, 12. Saje beritahu, kot kot lupa," katanya ringkas dalam nada sinis.

BACA LAGI: 'Saya tak dapat pun', tonggak TRW hanya mampu gelak Zamsaham masukkan pendahuluan tunggakan gaji RM1,000

2467843

Skuad TRW merupakan antara kelab paling terkesan dengan isu gaji. Facebook/TRW Kelantan FC

Berdasarkan ciapan pendek itu, ia memberi gambaran bahawa dia tidak menerima bayaran gaji untuk tujuh bulan yang pastinya memberi tekanan terhadap sumber pendapatan keluarga.

Beto sebelum ini beraksi bersama Sarawak United dalam Liga Super 2022 dengan satu jaringan satu bantuan gol direkodkan dalam 14 penampilan buat skuad Ngap Sayot.

Selepas kelab Borneo itu dihalang daripada menempah slot dalam divisyen teratas bola sepak tanah air pada musim berikutnya, anak jati Perak berkenaan memilih untuk menyertai Kelantan FC.

Namun, isu sedemikian sekali lagi menimpanya apabila dia dan rakan sepasukan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan akibat masalah pengurusan.

Kini, dia memilih untuk menyertai skuad Harimau Kumbang dengan harapan dapat menemui semula rentaknya, sekali gus membantu Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam saingan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram